Sepanjang
saya membesar, banyak kali saya mengalami peristiwa pelik. Hendak dikatakan
mistik, saya sendiri tidak pasti. Dari zaman kanak-kanak sehingga meningkat
dewasa. Cuma di usia sekarang ini, ianya berkurangan mendadak dan saya tidak
bercadang untuk berdoa supaya dikembalikan kekerapan itu. Banyak saya alami
dari rumah sendiri, di rumah arwah tok, jalan raya, asrama, tempat kerja dan
lain-lain lagi.
Designed by Freepik |
Malam
ini saya kongsikan satu pengalaman di usia 13 tahun. Ketika itu saya mula
menjejakkan kaki ke asrama. Belajar pengajian bahasa arab yang mana saya tidak
pun habiskan kerana bertukar sekolah. Tak mampu mengadap bahasa arab
sebenarnya. Semangat berdikari amat kuat
ketika itu. Perasaan gembira sebenarnya ketika itu berjumpa ramai rakan dan
mula hidup sendiri tanpa bantuan ibu bapa menguruskan hal-hal harian. Tapi di
sebalik itu, dalam setahun saya di sekolah itu, terdapat banyak perkara yang
berlaku tanpa mampu logik akal saya membuat penjelasan.
Di
sekolah tersebut terdapat dua asrama. Asrama Desa dan Asrama Harian
panggilannya. Saya tidak faham apa maksudnya namun ada satu perbezaan yang
jelas. Asrama Harian tersebut mengadap Asrama Puteri yang mana di tengahnya ada
dewan makan. Asrama Harian itu terdiri dari 3 tingkat dan mempunyai banyak
bilik atau pun dipanggil dorm. Setiap dorm memuatkan enam katil dua tingkat
yang mana ada dua belas orang pelajar di satu dorm. Bilik air dan mandinya juga
elok.
Berbeza
pula dengan asrama yang saya diami. Terletak jauh dari asrama harian dan dewan
makan. Betul bersebelahan dengan bengkel kelas kemahiran hidup. Tidak ada bilik
cuma satu laluan panjang yang menempatkan katil dua tingkat di kiri dan
kanannya. Di hujung sekali terdapat katil-katil dan tilam yang berlebihan
mungkin. Terperosok di penghujung laluan asrama. Bilik mandi kami cuma ada satu
kolah besar dan lebih kurang 4 tandas jika tidak salah saya. Di belakang bilik
mandi dan tandas tersebut ada tali air yang agak besar memisahkan antara asrama
dan jalan besar yang lurus membelah sawah padi. Saya masih ingat lagi ketika
bulan ramadhan, para pelajar senior berpesta meriam tin dibelakang bilik mandi.
Antara
yang jelas diingatan saya dinasihatkan jika terjumpa duit syiling jangan
diambil. Sebaliknya letakkan kembali ke tingkap. Memang benar saya melihat
setiap tingkap ada duit syiling. Kata senior tersebut, ianya pendinding yang
dibuat oleh seseorang untuk mengelakkan dari asrama kami diganggu. Di usia 13
tahun, saya cuma ianya sahaja tanpa banyak bicara. Terdapat juga senior yang
menceritakan bagaimana di waktu tengah malam mesin-mesin di bengkel kemahiran
yang bersebelahan asrama kami itu hidup dengan sendirinya. Namun tidak saya
ambil peduli sangat kerana menganggap ianya mungkin usikan pelajar senior
kepada kami yang baru mengenali dunia asrama.
Setiap
malam pelajar akan melakukan prep di dewan makan. Di waktu prep ini ada yang
mengulangkaji pelajaran dan tidak kurang juga membuat kerja sekolah. Ada juga
yang membuat hal sendiri. Untuk pergi ke prep dari asrama desa, saya kena
melalui tepi bengkel kemahiran hidup dan melintasi sebuah tandas yang tidak
digunakan lagi. Selepas itu berjalan beberapa puluh meter dalam cahaya suram
koridor untuk sampai ke dewan makan. Berhari-hari melalui jalan tersebut, mata saya
tertumpu pada tandas buruk tersebut. Otak ligat mengatur strategi hendak
mengusik rakan-rakan seusia yang lain.
Saya
berpakat dengan seorang Izwan untuk mengusik mereka yang hendak pulang ke
asrama desa. Pada waktu prep siang, saya membentangkan rancangan tersebut untuk
kepadanya dan Izwan juga teruja untuk turut serta. Masing-masing tersenyum
membayangkan kawan-kawan yang berlari ketakutan.
Prep
malam tersebut, saya dan Izwan bergegas awal meninggalkan dewan makan tanpa
mengambil supper. Selalunya biskut empat segi 4 keping dan secawan teh atau
milo panas. Kami berdua bergegas melalui koridor suram tersebut dan terus ke
tandas buruk yang gelap itu. Di depan tandas itu ada beberapa kerusi lama yang
dibiarkan di situ. Saya dan Izwan duduk seketika di situ sambil memandang jauh
ke arah koridor suram menghala ke dewan makan itu sambil menunggu masa. Memandangkan
tempat yang kami duduki itu gelap, ianya menjadi tempat menunggu yang strategik.
"Shafiq,
tu ada tiga orang berjalan ke sini" bisik Izwan sambil menuding jari ke
arah pelajar yang berjalan ke arah kami. Saya memberi isyarat kepada Izwan
untuk masuk ke tandas dan bersedia.
Di
dalam kegelapan tandas buruk itu kami berdiri di dalam, di tepi kiri dan kanan pintu
utama tandas itu. Kedengaran derap langkah pelajar tersebut menghampiri tandas
buruk tersebut. Apabila betul hampir kami berdua terus membuat bunyi mengilai
sebagaimana yang dilihat di dalam filem seram.
Sunyi.
Derap langkah tadi juga lesap. Saya hairan. Ke mana mereka pergi? Ini kerasa
mereka perlu melintasi tandas buruk tersebut untuk balik ke asrama. Tiba-tiba
lesap begitu sahaja. Pelik dengan kejadian yang berlaku, saya dan Izwan keluar
kembali duduk ke kerusi lama yang kami duduki awal tadi.
Tiba-tiba
Izwan bersuara. "Shafiq, siapa panggil nama hang?"
"Ah,
hang jangan nak takutkan aku pula, Izwan" balas saya sambil memandang
keadaan sekeliling.
Beberapa
detik selepas itu saya terkaku. Bulu roma di tengkuk berdiri. Peluh dingin
turun dari celahan rambut. Jantung berdegup pantas. Saya mendengar nama saya
dibisik di telinga sendiri. Suara wanita itu memanggil nama saya berkali-kali. Apabila
panggilan itu bertukar kepada lolongan seram tak ubah seperti filem seram, saya
terus berlari ke asrama yang tidak jauh dari satu. Saya terjatuh di depan pintu
sambil menutup mata dan telinga. Tidak lama kemudian, beberapa orang pelajar
senior yang pulang dari prep menemui saya yang ketakutan.
Mereka
seolah maklum yang saya baru sahaja melalui pengalaman yang menakutkan. Mereka menyuruh
saya mencuci kaki di pili air depan asrama dan berehat. Saya juga tidak
menceritakan apa yang saya lakukan sebelum itu. Salah seorang dari mereka
berpesan jika rasa was-was hendak lalu di situ, tunggulah kawan. Saya yang
bingung terlelap begitu sahaja.
Esoknya
ketika sarapan pagi, Izwan bertemu saya. "Malam semalam hang balik laju
sangat sampai tak ajak aku. Ingatkan plan menyakat kita tak jadi".
Saya
terdiam. Tiba-tiba terasa seram sejuk. "Aku ingatkan hang sakit perut ke
apa sebab laju betul hang balik asrama. Aku lepaklah dengan budak-budak kelas
kita layan supper dulu" ulas Izwan.
Jadi,
siapakah Izwan yang bersama dengan saya malam tadi?
Izwan - Bukan nama sebenar.