Memahami Pengiraan Volumetric Poslaju


“Bro! Barang yang aku pos ni ringan je tapi akak Poslaju ni cas mahal macam berat pula.”

Inilah antara persoalan yang selalu muncul di peti mesej Facebook, Telegram dan WhatsApp saya. Pertanyaan dari kawan-kawan terutamanya yang melakukan banyak pengeposan menggunakan Poslaju. Jadi saya akan jawab di dalam posting ini sebagai memudahkan menjawab tiap kali diajukan soalan yang sama.

Apa itu Volumetric?

Volumetric atau pun Volumetric Weight ini juga dikenali sebagai Dimensional Weight (berat dimensi). Ini adalah teknik penentuan harga yang digunakan oleh sektor pengangkutan barang perdagangan dan seterusnya digunapakai oleh sistem pos dan juga servis kurier di serata dunia. Dahulu berat bungkusan memainkan peranan penting untuk penentuan harga.

Selaras dengan kemajuan pengangkutan, teknik konvensional ini tidak sesuai dan merugikan dari segi kos dan operasi. Jadi Volumetric digunapakai. Berat sebenar dan berat volumetric akan dibandingkan. Pelanggan akan dicas mengikut mana yang lebih berat.


Kenapa perlu Volumetric?

Volumetric ini disasarkan kepada bungkusan yang ringan tapi bersaiz besar. Ringan dan besar ini secara amnya akan murah jika teknik penentuan harga berdasarkan berat fizikal digunakan. Murah tetapi memakan ruang di dalam tempat simpanan pengangkutan. Jadi wujudnya volumetric ini untuk membuat kos dan operasi pengangkutan lebih efektif.

Jika tidak salah saya, beberapa tahun sudah FedEx dan UPS telah melaksanakan sistem Volumetric untuk semua pengeposan udara dan laut yang mana sebelum ini tertakluk kepada saiz tertentu sahaja. Poslaju pula hanya mengenakan sistem volumetric ini ke atas pengeposan servis kurier sahaja.

Penentuan Volumetric

“Kejap Volumetric. Kejap tidak. Macam mana yang betul ni, bro?”

Bagi pengeposan Poslaju, sebarang bungkusan melebihi 30 cm salah satu sisi akan melalui pengiraan volumetric. Ini bergantung kepada ringan atau berat bungkusan tersebut. Sebab itu anda akan berdepan dengan situasi beberapa barang yag lebih kurang berat tapi berbeza saiz dan harga yang dicas berbeza.

Pengiraan Volumetric

Formula: Panjang (P) X Lebar (L) X Tinggi (T) / 6000

Formula pengiraan Volumetric Poslaju

Contoh

Dimensi Kotak

  • Panjang: 40 cm
  • Lebar: 20 cm
  • Tinggi 20 cm
  • Berat fizikal: 1.50 kg

Berapakah berat dalam Volumetric?

40 cm X 20 cm X 20 cm / 6000 = 2.67 kg

Berat fizikal: 1.50 kg
Berat volumetric: 2.67 kg

Untuk berat fizikal 1.5 kg, Poslaju akan mengenakan bayaran sebanyak RM 12.56. Untuk berat volumetric pula anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM 23.96. Jadi mana yang lebih berat akan digunakan sebagai penentu harga. Dalam situasi ini cas bayaran dari berat volumetric akan diambil kira.
Pengiraan ini dari laman web Pos Malaysia Berhad.

Semoga sedikit sebanyak dapat membantu anda memahami apa itu Volumetric yang digunakan oleh Poslaju. Saya mohon maaf andai ada kekhilafan di dalam artikel ini. Anda boleh ajukan pembetulan agar dapat dikemaskini artikel ini.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca.

Sila rujuk di laman Pos Malaysia Berhad untuk maklumat yang tepat dan sahih.

Tags

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !