Kelmarin genap 5 tahun sudah aku bersama syarikat IT ini. Sebagai pembangun sistem, aku berasa amat selesa di sini. Sepanjang 5 tahun ini juga aku melihat ramai tenaga kerja profesional silih berganti kerana tawaran gaji daripada syarikat lain. Aku juga pernah ditawarkan posisi sama di sebuah syarikat lain, tetapi aku menolaknya biar pun gaji yang ditawarkan tinggi berbanding gajiku ketika ini. Aku selesa dengan keadaan di sini sehingga ketika ini.
Tugasan aku hari ini sebenarnya terganggu. Bermula jam 11.30 pagi, seluruh syarikat ini tidak dapat mengakses internet melalui talian sedia ada. Kami semua dimaklumkan ada kerosakan kabel berpunca daripada pembinaan tidak jauh dari tempat ini. Semua yang dirancang tergendala.
Lebih kurang 4.15 petang, sambungan internet kembali pulih. Kelihatan petugas lain terus menatap skrin komputer masing-masing. Mungkin mengejar apa yang tergendala tadi. Aku masih lagi leka melayan media sosial membaca coretan wargamaya. Sudah menjadi kebiasaanku untuk balik lewat ketika tugasan menguji sistem yang baru dibina. Ini kerana sistem yang ada ini perlu dipastikan tiada ralat atau masalah sebelum dinilai dan diuji sekali lagi oleh bosku. Jadi aku memilih waktu selepas orang lain pulang untuk memulakan ujian.
Sebut tentang bosku, aku menginjakkan kerusi ke belakang. Pembantunya ada memberitahu kami semua bahawa bos cuti kecemasan menguruskan hal keluarga untuk dua minggu. Mataku jelas menatap bilik berdinding kaca milik bosku. Seorang yang kacak dan menjadi lirikan mata kebanyakan gadis-gadis di pejabat. Namun begitu, dia sudah pun berpunya. Teman wanitanya juga begitu sepadan dengannya. Seolah padanan ini seperti drama jam 7 petang. Pernah juga sekali dua datang menjenguk bosku. Bohonglah jika aku tidak curi-curi memandangnya.
“Kalaulah ada awek lawa macam ni nak aku jadi boyfriend dia...”
Selesai Maghrib, aku pun memulakan kerjaku. Kelihatan beberapa rakan sekerja masih lagi bertugas mungkin kerana insiden yang berlaku pagi tadi. Saat pejabat mula sunyi, otakku semakin fokus. Aku rasa sangat selesa ketika ini. Tetikul terus ditatal berselang seli dengan jari jemari menekan papan kekunci sambil mata menatap skrin yang memaparkan bahasa pengaturcaraan.
“Hoi! Kau tak nak balik lagi ke? Kami semua nak pergi minum dulu sebelum balik.”
Sarah rupanya. Seorang gadis yang gemar memakai fon kepala ketika jiwa pengaturcaraannya tengah meresap. Kubikel Sarah terletak di belakangku. Lantas aku merenung jam di dinding pejabat. Jam 8.45 malam. Waktu yang biasa bagiku.
Selepas melambai Sarah dan rakan-rakan lain yang meninggalkan pejabat, aku kembali ke tugasanku. Kerja kali ini tidak ada banyak pembetulan. Tidak terdapat ralat yang kritikal semasa aku ujinya. Tiba-tiba notifikasi mesej WhatsApp terpampang di skrin telefon bimbitku.
Sarah: Sapik, tadi Abang Zan tanya kenapa biar kawan kau tunggu lama dekat motor. Dari pukul 8 malam dia tunggu.
Aku: Ah! Jangan nak mengarut kau Sarah. Kawan mana pula nak tunggu. Aku bukan ada berjanji dengan siapa-siapa hari ini.
Sarah: Lantak kaulah Sapik. Manalah tahu hantu ke memang tunggu kau.
“Ah, sudah! Sarah ni celupar betul” rungut aku dalam hati. Terus hatiku tertanya-tanya siapa kawan yang dimaksudkan. Baru aku teringat yang motorsikalku tidak diletak di tempat biasa. Ini kerana aku malas turun ke ruang bawah tanah. Jadi selepas makan tengah hari, aku letak di tepi tembok sebelah kanan pejabat.
Rasa curiga dan ingin tahu terus menyerang minda. Aku bangun dari kerusiku. Beberapa lampu di hujung ruang pejabat sudah ditutup. Tinggal beberapa sahaja yang menyala terang berhampiran tempatku. Aku memandang bilik kaca bosku. Tingkap di biliknya sahaja yang memberi pandangan penuh ke tempat letak motorsikalku.
Aku pandang kiri dan kanan bagi memastikan tiada siapa yang masih lagi berada di aras ini. Jangan ada orang perasan aku curi-curi masuk. Perlahan aku memberanikan diri menguak pintu kaca bilik bosku. Aroma pewangi yang begitu kuat terus menusuk ke deria bauku.
“Tak lemas ke dia dengan pewangi yang terlalu kuat ni?” bisik hatiku.
Di belakang kerusinya, ada sebuah pintu ke stor kecil. Mataku terpandang kotak hadiah yang berada di bucu meja. Fikirku ia mungkin pemberian daripada teman wanitanya. Namun aku teruskan langkah ke arah tingkap dan menyelak tirai.
Benar seperti yang Sarah beritahu. Seorang lelaki berdiri di tepi kereta yang diletakkan betul bersebelahan dengan motorsikalku. Dalam kesamaran lampu jalan, kelihatan sesosok tubuh bertopi hitam bersandar di kereta dan kelihatan kepulan asap rokoknya dihembus. Tiba-tiba sosok tubuh itu mendongak melihatku sambil menghembus lagi asap rokoknya itu.
Jam di komputer menunjukkan 11.50 malam. Aku mengemas mejaku. Komputer dimatikan. Sebelum itu, sekali lagi aku memasuki bilik bosku untuk melihat lelaki tadi. Kereta tadi masih lagi berada di sebelah motorsikalku namun sosok tubuh lelaki tadi tidak lagi kelihatan. Aku sedikit was-was namun aku aku cuba positifkan diri dengan tidak terlalu memikirkan tentangnya.
Lampu pejabat aku matikan. Gelap gelita. Namun begitu tidak menjadi masalah kerana aku memang amat kenal laluan ke lif dari tempatku. Sampai ke tingkat bawah, aku terus menghala ke pintu utama. Kad akses aku lekapkan di terminal keselamatan untuk membuka pintu.
Dingin benar di luar. Keadaan juga berangin seolah hujan akan turun. Hatiku sedikit berdebar berjalan ke arah motorsikalku. Mataku ligat mengimbas persekitaran sekiranya lelaki tadi masih ada. Setelah berpuas hati dengan keadaan, aku melajukan langkah.
Aku lihat begitu banyak puntung rokok di tepi kereta tempat lelaki tadi bersandar. Memang seorang perokok tegar nampaknya lelaki ini. Tanpa melengahkan masa aku terus menyeluk saku untuk mendapatkan kunci motorsikalku.
“Masya-Allah! Lupa pula nak ambil helmet,” bebelku kepada diri sendiri. Terpaksalah kembali ke tingkat dua di mana kubikelku berada. Tiba-tiba fikiran tentang lelaki tadi mula kembali membuatkan aku sedikit gusar.
Setelah melekapkan pas keselamatan di terminal, aku kembali ke lif dan menuju ke tingkat dua. Apabila lif terbuka, cahaya dari dalamnya menerangi sedikit kegelapan di ruang hadapanku. Sambil aku berjalan keluar, pintu lif tertutup kembali menarik bersama cahayanya tadi.
Dalam kegelapan ruang pejabat, aku menghampiri kubikelku. Saat aku tunduk untuk mencapai helmet, aku terdengar ada kunci pintu dibuka. Lantas aku berdiri dalam kegelapan melihat sekeliling mencari dari mana bunyi pintu dibuka.
Sambil memegang helmet di tangan kananku, berdiri di hadapan bilik bosku sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Cahaya bulan terang menerobos melalui celahan tirai bilik bosku. Aku perasan ada sesuatu yang aneh.
Kelihatan kotak hadiah di bucu meja tadi terjatuh ke lantai. Aneh. Mana ada angin yang masuk menolak sehingga jatuh kotak tersebut. Mungkin juga aku terlanggar tanpa sedar masa keluar dari bilik tersebut. Memandangkan aku orang terakhir keluar pejabat, risau juga jika aku dituduh menceroboh walaupun aku benar curi-curi masuk tadi.
PIntu kaca aku kuak dan aku terus mencari kotak yang terjatuh itu. Kotak tersebut jatuh terbuka. Ada sebentuk cincin bertatahkan berlian terlekat kemas di dalam kemasan baldu kotak tersebut. Aku menutup kotak tersebut dan meletakkannya kembali ke tempat asalnya.
Sejurus kotak itu aku letakkan, kedengaran bunyi dari dalam bilik di belakang meja bosku. Seperti ada orang menggeledah di dalamnya. Ada kucingkah di dalam bilik ini? Aku beranikan diri menghampiri pintu tersebut. Pintunya terbuka sedikit. Rasa ingin tahu membuak-buak kerana tak pernah aku tahu apa yang ada disebalik pintu tersebut.
Aku terkedu saat bukaan pintu semakin luas. Dalam kesamaran cahaya bulan itu aku melihat sekujur tubuh wanita terbaring pucat di situ. Peluh mula merembes pantas. Aku terasa dingin dan ketakutan. Aku mula berundur setapak. Tiba-tiba satu sosok tubuh keluar dari pintu tersebut dan merempuhku sehingga terlanggar meja dan aku pun jatuh ke lantai.
Rasa pedih tiba-tiba di bahagian perutku. Aku bingung seketika dengan apa yang terjadi. Aku memegang perutku yang pedih tiba-tiba. Tanganku terasa basah. Rasa pedih itu semakin kuat. Tidak jauh dari situ aku melihat satu objek berkilau. Dalam kepayahan aku mengesot diriku untuk melihatnya.
Pisau. Rupanya aku ditikam. Terasa darah semakin banyak keluar. Pandangan aku semakin kabur. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Aku gagahkan menyeluk saku mengeluarkan telefon yang sedang berdering.
Otakku tidak mendengar siapa yang bercakap. Pandanganku kabur untuk melihat siapa yang menelefonku. Cuma aku ulang berkali-kali “Tolong… Pejabat…” beberapa kali sebelum telefon itu terlepas dari peganganku.
Pepatah Inggeris ada berbunyi ‘Curiosity killed the cat’. Adakah metafora kucing itu adalah aku dalam pepatah ini? Berulang kali aku menyebut “Allah”. Dingin semakin terasa di samping kesakitan. Aku merasakan semakin banyak darah keluar dari luka itu.
Aku terbaring lemah. Mataku menatap cahaya bulan yang menerobos di celahan tirai. Semakin lama semakin kabur pandanganku. Telefon yang berdering berkali-kali semakin sayup kedengaran. Mungkin ini rasanya di penghujung nyawa. Tidak siapa tahu bagaimana penamat yang tertulis untuk kita.
Cahaya bulan itu yang terakhir aku tatap. Perlahan ianya kabur dan malap. Gelap. Inikah penamat hidupku? Dingin. Aku reda andai ini yang ditulis sebagai penamatku.
Cerah. Silau. Mataku buka perlahan. Bingung. Aku cuba mentafsir apa yang berlaku.
Aku belum mati? Terasa jemari kananku digenggam. Pandangan semakin jelas tapi di manakah aku? Saat pandangan semakin penuh, aku melihat wajah Sarah.
“Sarah? Aku kat mana? Kenapa kau menangis?” ujarku lemah.
Rupanya sudah dua hari aku berada di hospital. Saat aku hampir pengsan selepas ditikam, Sarah menelefonku supaya membawa balik dokumen di atas mejanya jika aku masih di pejabat. Apabila jawapan yang diterima begitu aneh sekali, Sarah terus menghubungi polis dan mengajak kawan-kawan lain kembali ke pejabat. Sarah hampir pengsan melihat aku terbaring berlumuran darah di dalam bilik bos.
Tidak lama selepas itu beberapa pegawai polis masuk dan menyoalku tentang kejadian malam itu. Terus aku terbayangkan apa yang aku lihat dan terjadi pada diriku. Rupanya gadis di dalam bilik tersebut adalah teman wanita bosku. Dua malam sebelum kejadian, bosku melamar teman wanitanya. Itu menjelaskan kehadiran cincin di dalam kotak hadiah tersebut.
Namun begitu pada malam yang sama teman wanitanya mahu memutuskan perhubungan mereka. Berang dengan perkara tersebut, bosku mencekik teman wanitanya hingga mati. Biliknya diletakkan pewangi yang amat kuat supaya dapat menyembunyikan kematian tersebut.
Lelaki yang menikamku adalah lelaki yang sama menunggu di tepi motorsikalku. Dia menungguku pulang untuk masuk ke pejabat bagi menghapuskan bukti dan mayat gadis malang itu. Tidak sangka pulaaku akan naik semula ke pejabat. Setelah menikamku, dia melarikan diri kerana terkejut. Lelaki tersebut adalah abang kepada bosku yang mengalami masalah mental. Bosku telah mempengaruhinya untuk membantu menutup kesalahannya.
Selepas kejadian itu aku mengambil cuti panjang untuk berehat. Namun begitu, aku tidak kembali bertugas. Aku terus menghantar surat peletakan jawatan. Tidak mahu aku mengingati tempat yang ada sejarah hitam dan hampir mengorbankan aku.
Setelah dua bulan berehat, aku kembali meneruskan karier yang sama di tempat lain. Aku teringat ada sebuah tawaran sebelum kejadian. Mujurlah posisi itu tidak diisi lagi. Aku tidak lagi mengulangi perangai balik lewat seperti di syarikat sebelum ini.
Di sebalik hampir menemui ajal, rezeki tetap tiba. Satu kisah yang tamat akan menjadi permulaan kisah yang lain. Aku tersenyum tatkala membaca pesanan ringkas di telefonku.
Sayang, temankan Sarah minum kopi petang ini?
Penafian: Cerita ini bukanlah 100% tulen daripada saya. Ada tertonton sebuah animasi seram luar negara di YouTube. Saya ambil isi dan dah olah semula dengan penambahan.
Imej daripada: Freepik.com
0 Ulasan
Terima kasih atas komen anda