Ride Solo Chenderiang - Teluk Intan - Lumut

0

Pagi 24 Disember 2020, saya meninggalkan Draco Nature Camp yang terletak di Sungai Cincin, Chenderiang dan menuju ke Teluk Intan. Saya bergantung kepada telefon bimbit sebagai alat pemanduan arah tetapi kadar bateri di telefon tidak mengizinkan saya berbuat bergitu.

Berhampiran dengan persimpangan Jalan Temoh, saya melihat Google Maps sebentar untuk melihat hala tuju. Saya tutup data selular dan terus bergerak menuju ke A120 Jalan Banir. Walaupun pagi, keadaan agak terik juga ketika itu. Perjalanan diteruskan hingga ke Air Kuning di mana saya berhenti untuk mengisi minyak dan kembali meneruskan perjalanan. Saya bertanyakan kepada juruwang stesyen minyak tersebut jalan ke Teluk Intan.

Perjalanan ke Teluk Intan ditemani tanaman kelapa sawit di kiri dan kanan jalan. Sesekali melewati kawasan kampung. Walau terik, sedikit nyaman mungkin kerana melalui kawasan yang kurang pembangunan pesat. Namun begitu keadaan jalan sedikit kurang cantik tapi tidaklah teruk. Jalan tidak terlalu luas dan sedikit berselekoh menjadikan ruang memotong terhad di beberapa seksyen jalan.

Hampir sejam setengah berlalu dengan kelajuan sekitar 80-90 km/j, saya tiba di Teluk Intan. Perjalanan yang tidak sukar. Laluan terus sahaja dengan papan tanda arah yang jelas. Tanpa berlengah, saya terus ke Menara Condong yang menjadi mercu tanda Teluk Intan ini. Selesai berfoto, saya singgah sebentar untuk bersarapan. Ikutkan perut, tidak begitu lapar mungkin kerana letih tetapi tetap makan supaya bertenaga untuk perjalanan seterusnya.

Di Menara Condong, Teluk Intan.

56 kilometer dari Draco Nature Camp ke Teluk Intan. Destinasi seterusnya adalah Lumut. Jalan yang diambil adalah melalui jajaran E32 Lebuhraya Pantai Barat atau dikenali dengan WCE (West Cost Expressway). Lebuhraya ini masih dalam proses pembinaan dan masih lagi bertaraf jalan raya. Ada masanya lorong menjadi satu dan dua di beberapa lokasi. Dari semua perjalanan, inilah laluan paling membosankan.

Meredah laluan ini dengan terik mentari sejauh 68 kilometer, akhirnya saya tiba di Lumut. Jam menunjukkan jam 12 tengah hari. Masa untuk daftar masuk hotel yang saya tempah adalah jam 2 petang. Saya nekad cuba nasib. Jika tak dapat masuk pun, harapnya boleh tumpang letak beg dahulu.

Hotel Brezza

Disapa mesra oleh petugas meja hadapan. Alhamdulillah. Sampai saja terus diberikan bilik. Rasa sedikit sakit kepala, saya terus masuk ke bilik dan tidur sekejap. Hotel Brezza ini berdekatan dengan KFC. 7-11 juga berada dalam jarak jalan kaki sahaja. Lokasi hotel ini terletak tidak jauh dengan jeti ke Pulau Pangkor.

Bersama Pakcik Ain

Petang tersebut, sahabat saya Najmi dari Seri Iskandar datang melawat. Memandangkan saya belum lagi makan tengah hari, terus kami bergerak untuk makan. Selesai makan kami berbual di lobi hotel menanti jam 9 malam untuk bertemu dengan sahabat kami berdua iaitu Pakcik Ain.

Memanaskan enjin sebelum ke Taiping

Bersembang hingga ke awal pagi, saya akhirnya kembali ke hotel untuk tidur. Esoknya seawal jam 7.30 pagi, saya akan bertolak melalui Pantai Remis ke Taiping. Jalan Manjung – Pantai Remis memang tidak berada dalam keadaan yang baik berikutan pembinaan yang sedang berjalan di sepanjang laluan.

Bersambung…
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !