Bayangkan anda menginap di sebuah hotel di mana anda perlu melalui laluan pejalan kaki setinggi 90 kaki dari aras laut? Sekiranya terjatuh, anda akan berada di dalam kawasan yang aktif dengan jerung. Tambah menarik lagi, lokasi itu dikenali oleh pelaut sebagai Tanah Perkuburan Atlantik.
Sebuah platform berkarat yang terletak 34 baru dari pantai North Carolina ini suatu masa dahulu berfungsi sebagai rumah api bagi memandu pergerakan kapal-kapal di mana kawasan tersebut cetek bagi kapal-kapal besar. Karamnya banyak kapal di kawasan itu membawa kepada pembinaan platform ini di mana kawasan ini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Atlantik. Selaras dengan kamajuan teknologi pelayaran dan GPS, semua kapal dapat mengemudi kawasan ini dengan selamat menjadikan rumah api ini tidak lagi diperlukan. Sehinggalah pada 2010, kerajaan Amerika menyenaraikan platform rumah api ini ini untuk dibida.
Richard Neal, seorang bekas jurutera perisian tidak menyangka bidaannya mengena. Bidaan 85000 dolar pada 2010 itu seterusnya menjadikan Richard pemilik baru rumah api berkarat ini. Impiannya menjadikan rumah api ini sebagai satu destinasi perlancongan pengembaraan namun begitu dia tidak langsung mempunyai pengetahuan dalam bidang perhotelan. Berbekalkan bantuan ahli keluarga dan rakan-rakannya, mereka membuat ubahsuai dan memulihkan semula plafform rumah api ini. Dua tahun berulang alik dari daratan untuk ubahsuai dan memulihkan sistem perpaipan serta elektrik, Richard akhirnya menerima tetamunya pada 2012.
Hotel yang diberi nama The Frying Pan Tower ini mempunyai menara setinggi 41 kaki dan helipad seluas 80 x 80 kaki dan ia kerap dihentam oleh ribut. Bagi memanfaatkan cuaca ini, Richard memasang sebuah tangki air dengan kapasiti 11000 gelen untuk menadah air hujan sebagai punca air tawar kegunaan hotel ini. The Frying Pan Tower ini mempunyai 8 buah bilik. 5 bilik adalah bersaiz katil berkembar dan 3 bilik bersaiz permaisuri. Sebuah bilik krew untuk dua orang juga disediakan di mana tempat ahli keluarga Richard yang bertugas akan tinggal. Bermula dengan generator berkuasa minyak yang bising, kini hotel ini menggunakan sistem solar sebagai sistem bekalan kuasa elektrik utama. Dapur juga berfungsi sepenuhnya tetapi pengunjung selalunya akan memancing untuk merasaikan kesegaran ikan di arus atlantik.
Jadi apa yang boleh dilakukan di lautan yang sepi dan luas ini? Di Frying Pan Tower, mereka menyediakan beberapa aktiviti riadah. Anda boleh bersantai, bermain di tali kendur di bawah hotel, snokerling, berenang dan bermain jet ski. Selain itu mereka juga menyediakan permainan dalaman seperti billiard, menembak skeet (skeet shooting) di mana sasaran yang digunakan adalah mesra alam dan mudah mengurai secara semula jadi. Anda boleh berlatih memukul bola golf khas di mana ia akan terurai menjadi makanan ikan. Paling penting, anda dapat memancing dan terus memasak hasil anda di hotel ini. Sekiranya anda memerlukan sambungan internet, hotel ini turut menyediakan sambungan internet berkelajuan gigabit. Pada waktu malam juga anda dapat melihat terangnya bintang berikutan tiada pencemaran cahaya dari sekeliling.
Sebuah hotel di perairan antarabangsa. 34 batu dari pantai North Carolina, hanya ada dua cara sahaja untuk sampai. 20 minit dengan helikopter atau pun beralun bersama ombak dengan bot berkuasa tinggi meredah lautan.
Rujukan: https://www.fptower.com/images.html