Revolusi industri dunia yang bermula di Britain pada abad 18 telah mengubah landskap kemajuan dunia. Bermula dengan kuasa wap, arang batu dan terciptanya mesin tenunan menjadi permulaan kepada industri gergasi ketika itu. Revolusi ini seterusnya merentas abad dengan keluli, elektrik, telefon dan petrokimia. Barangan mula dikeluarkan secara besar-besaran dan kilang-kilang pembuatan bercambah dengan rancak.
Kerancakan industri ini tidak lepas daripada tragedi. Reformasi industri lahir daripada kehilangan jiwa tragedi yang berlaku. Berikut adalah beberapa kemalangan dahsyat yang berlaku sepanjang perjalanan revolusi industri ke zaman moden.
1. Courrières, Perancis (1906).
Pada pagi 10 March 1906 di Courrières, Pas-de-Calais, satu letupan dahsyat telah berlaku di sebuah lombong arang batu. Letupan tersebut terjadi akibat tindak balas debu arang batu dengan gas metana yang mana telah mengorbankan 1,100 orang pekerja termasuk remaja.
Insiden menjadi lebih meruncing apabila pihak berkuasa menghentikan misi menyelamat atas alasan lombong tersebut masih dalam keadaan bahaya. 20 hari setelah letupan, sekumpulan pelombong keluar dengan keadaan yang lemah dah disaluti debu arang batu. Pekerja dan rakyat yang masih dalam marah dengan tindakan menghentikan misi menyelamat mula membuat mogok.
![]() |
Keratan akhbar berita kemalangan |
Bertitik tolak daripada tragedi ini, reformasi perlombongan Eropah mula berlaku. Pasukan keselamatan khas memfokuskan insiden perlombongan juga dibentuk dan diberikan latihan yang sesuai.
2. Triangle Shirtwaist, New York (1911).
25 March 1911, New York sedang mengalami musim bunga. Triangle Shirtwaist Company, sebuah kilang pakaian wanita sedang beroperasi di bangunan 10 tingkat di Greenwich Village. Kebanyakan pekerja kilang ini adalah wanita imigran yang berhijrah ke New York. Sewaktu kilang beroperasi, pemilik kilang akan mengunci semua pintu keluar kononnya untuk mengelakkan kecurian kain.
Sekitar pukul 4:40 petang, percikan kecil api menyambar timbunan kepulan kapas dan dengan pantas menjadi marak. Situasi panik dan huru hara. Jeritan pekerja mula kedengaran dengan begitu kuat. Pekerja tidak dapat keluar. Ramai yang meninggal dunia di tangga sama ada dipijak rempuhan pekerja lain atau pun sesak nafas akibat asap yang menebal. Bagi yang lain, dalam terdesak mereka terjun dari tingkat 10 bangunan tersebut dan mati kerana impak terjunan. Rekod menyatakan ianya ibarat hujan manusia.
146 orang menjadi korban kepada insiden ini.
3. Perlabuhan Texas City, Texas (1947).
Pada 16 April 1947, perlabuhan Texas City sangat sibuk dengan pergerakan kapal memunggah naik dan turun dagangan mereka. Sebuah kapal dagang Perancis, SS Grandcamp sedang memunggah turun ammonium nitrat. Tiba-tiba mereka perasan ada asap mula keluar dari tempat ruang simpanan kargo. Mereka menutup ruang kargo kapal dengan harapan ketiadaan udara akan memadamkan punca kebakaran tersebut.
Mereka tersilap. Ammonium nitrat ini mempunyai oksigen di dalam rantaian molekulnya. Jadi apabila bahan ini terbakar, ia akan membakar dirinya sendiri dengan kehadiran oksigen yang terbebas itu. Beberapa minit selepas itu, letupan yang amat dahsyat terjadi. Gelombang letupan itu dapat dirasai oleh orang ramai sehingga 16 kilometer jauhnya.
Gelombang letupan ini juga memusnahkan tempat simpanan bahan petrokimia yang berada di sekitar perlabuhan dan menambahkan lagi kesan kemusnahan letupan ini. Sebuah kapal dagang SS High Flyer yang terkena impak gelombang tersebut juga meletup keesokkan harinya.
Laporan rasmi menyatakan 581 orang meninggal dunia yang mana terdiri daripada pekerja perlabuhan, bomba dan juga penduduk yang tinggal dekat dengan perlabuhan. 3,500 orang cedera dan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.
Faktor utama insiden ini adalah tiadanya peraturan penyimpanan ammonium nitrat dan kawalan suhu. Usaha pemadaman juga tidak efektif kerana kurangnya pengetahuan tentang ciri kimia ammonium nitrat. Kemusnahan yang dahsyat kerana kawasan perlabuhan padat seterusnya mewujudkan kesan domino.
Kes ini menjadi rujukan global bagi pengendalian ammonium nitrat. Peraturan antarabangsa juga telah digubal pagi pengangkutan dan penyimpanan bahan bersifat oxidator. Susun atur perlabuhan juga berubah dengan wujudnya zon penampan bagi mengelakkan kesan domino berlaku.
4. Bhopal, India (1984).
Malam 2-3 Disember 1984 di Bhopal, India, warganya tidur nyenyak. Di situ terletaknya sebuah kilang pembuatan racun perosak milik Amerika Syarikat bernama Union Carbide. Di sekelilingnya terletak setinggan yang mana kebanyakan penghuninya adalah pekerja kilang tersebut. Kilang ini mempunyai tangki besar cecair methyl isocyanate (MIC) iaitu bahan utama dalam penghasilan racun perosak yang mana perlu disejukkan setiap masa.
Cuma malam itu, tidak sama seperti malam sebelumnya. Tangki MIC mengalami masalah. Sistem amaran tidak berfungsi bergitu juga sistem penyejukan sandaran pula. Jaringan kegagalan ini menyebabkan cecair MIC membebaskan gas toksik sekitar 40 tan yang sangat berbahaya ke seluruh Bhopal.
Ramai yang rebah di jalanan dan mati secara tiba-tiba. Yang mana sedang nyenyak tidur juga mati tanpa sedar. Hospital menjadi huru hara dengan dipenuhi orang yang mencari rawatan. Bilik mayat juga tidak lagi mampu menampung kematian yang datang dengan banyak secara tiba-tiba. Paling teruk adalah mereka yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran Union Carbide.
Angka rasmi menyatakan 3,000 orang kehilangan nyawa akibat insiden tersebut namun begitu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pula menyatakan jumlahnya adalah berlipat kali ganda daripada itu.
Punca kepada kemalangan ini adalah tiadanya penyelenggaraan terhadap semua sistem termasuk sistem keselamatan dan sokongan kerana Union Carbide mahu mengurangkan kos operasi. Ditambah pula ianya dibina sangat berdekatan dengan kawasan penduduk, menjadikan rantaian kemalangan ini lebih menyayat hati.
Pihak Union Carbide telah diarahkan membayar AS$470 juta yang mana jauh lebih rendah daripada tuntutan asal mangsa. Kes ini juga telah menjadi rujukan utama apabila membincangkan tentang kecuaian korporat. Sistem pengurusan keselamatan yang lebih moden diperkenalkan. Zon penampan dan audit risiko kini adalah elemen wajib yang diterima pakai seluruh dunia.
Anda boleh tonton siri mini The Railway Men: The Untold Story of Bhopal 1984.
5. Rana Plaza, Bangladesh (2013).
Di pinggir Dhaka, terletaknya sebuah plaza di bandar yang dipanggil Savar. Bangunan Rana Plaza ini menempatkan bank, pasar raya dan juga 5 buah kilang membuat pakaian berjenama antarabangsa.
Pada 23 April 2013, pasaraya dan bank di Rana Plaza menutup operasi berikutan wujudnya keretakan luar biasa pada struktur bangunan. Berbeza pula bagi pemilik kilang pakaian. Mereka memaksa pekerja untuk datang bekerja dan diugut untuk dipotong gaji sekiranya ingkar.
Akhirnya pada 24 April 2013, jam 9:57 pagi; Rana Plaza yang mempunyai 8 tingkat itu runtuh menyembah bumi ibarat runtuhnya rumah kad. Saksi menyatakan mendengar bunyi konkrit pecah dengan sangat kuat. Jeritan mangsa saling tidak henti kerana setiap detik adalah genting. Debu tebal menutupi kawasan sekitar.
Operasi menyelamat berjalan selama berminggu-minggu. 1,134 pekerja terkorban dan 2,500 yang lain mengalami kecederaan.
Faktor yang menyebabkan insiden ini terjadi adalah kerana penguatkuasaan undang-undang pembinaan yang lemah. Tingkat tambahan telah dibina tanpa kelulusan dan melampaui kemampuan sokongan asas bangunan. Ini ditambah pula mesin-mesin yang digunakan pula mempunyai berat yang melebihi kapasiti ketahanan lantai yang mana menjurus kepada cepatnya kegagalan struktur.
Kesimpulan
Dari Courrières hingga Rana Plaza, ianya perkara yang sama menjadi punca kepada semua insiden ini. Amaran diabaikan. Penyediaan sistem keselamatan diabaikan demi margin keuntungan.
Semua insiden yang berlaku ini adalah kerana betapa manusia memilih keuntungan dan mengabaikan hak pekerja yang sepatutnya bekerja dalam keadaan sihat dan selamat.
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda