Penghujung 2020 telah tiba. Jatuh dan bangun adalah lumrah menempuh hari. Ada masa tersungkur. Kita bangun bertatih sebelum berlari. Itulah perjalanan sebuah kehidupan.
2020 adalah tahun yang mencabar. Pandemik mengubah dunia dan juga kita. Apa yang kita boleh buat adalah menyesuaikan diri dengan keadaan pandemik ini. Malaysia yang berjaya mengawal pandemik juga menghadapi gelombang ketiga COVID-19 sejak September lalu. Teringat lagi pada March, Pertubuhan Kesihatan Dunia masih tidak mengisytiharkan epidemik Coronavirus sebagai pandemik walaupun sudah melangkaui benua.
Teringat saya memulakan kembara bersama rakan, Mazli di penghujung Februari lalu sewaktu Coronavirus mula kecoh. Perjalanan berkhemah menuju ke Lenggong melalui Kulim seterusnya ke Gopeng. Tersesat mencari lokasi tapak perkhemahan di perkampungan orang asli. 18 March 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 mula diaktifkan bagi mengekang jangkitan.
Landskap Malaysia berubah. Norma baru mula diterapkan di dalam kehidupan. Kesan terhadap ekonomi mula kelihatan. 4 Mei 2020, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi merangsang semula sektor ekonomi secara bersyarat dan berperingkat. Pada 10 Jun 2020, beliau mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berlangsung hingga hari ini.
Bersama keluarga di Muzium Taiping sewaktu PKPP |
Masuk fasa PKPP, rakyat Malaysia kembali seperti biasa dengan mengamalkan norma baru. Sektor perlancongan mula menerima pengunjung dalam negeri berikutan sempadan masih lagi ditutup. Pelitup muka, penggunaan MySejahtera, pemeriksaan dan rekod suhu mula sebati dengan rakyat Malaysia. Namun begitu jumlah jangkitan meningkat saban hari.
Bersama bos Safwan dan juga Kak Shida. |
Pada bulan Ogos, saya diberikan peluang beralih bahagian kerja. Walaupun 4 bulan sudah bertukar bahagian, masih lagi bertatih kerana segalanya agak baru. Jika dahulu, syif dan kerja sudah tersedia aturannya. Tapi kini, segalanya terletak di tangan sendiri. Cara kerja juga lebih ke arah kreatif. Tiada lagi syif. Secara tak langsung menggalas tanggungjawab dalam beberapa hal lain juga. Komuniti kerja juga mula bertukar dan semakin besar. Jika keluar dari zon selesa, inilah yang saya rasakan saat ini.
Berbual panjang bersama Pakcik Ain di Manjung |
Disember ini, saya membuat kembara solo melewati Chenderiang, Teluk Intan dan Lumut. Alhamdulillah tercapai hasrat bertemu sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa bersama. Terima kasih semua yang mendoakan keselamatan, kelancaran dan memberikan kata-kata semangat sepanjang kembara singkat ini berlangsung.
Bergambar dengan mercu tanda Teluk Intan |
Sejak kembara lewat Februari lalu, saya menyusun impian membuat kembara solo menyelusuri semenanjung Malaysia. Menonton pula kayuhan solo Amir Arsad membuatkan diri lebih bersemangat. Saya juga sedang merangka laluan kembara solo semenanjung. Harapnya 2021 ini akan ada lebih peluang untuk kembara mengenali diri serta tanah airku ini.
Semoga 2021 akan lebih bermakna buat semua.
Semoga kalian dimurahkan rezeki dan dilimpahi rahmatNya.
Semoga kalian lebih kuat dari semalam.