Albania Tersungkur Di Kaki Piramid

Zaman ini, semakin banyak penipuan kewangan yang muncul dengan pelbagai cara. Ada yang menyusup daripada emel, WhatsApp, Telegram, emel mahu pun individu. Skim piramid juga adalah salah satu ciri penipuan yang mana pelaburan anda akan mendapat pulangan pantas dan tinggi; menjadikan mangsa kelabu mata dan terpedaya.

 

Skim piramid ini dibina atas platform yang sama. Cara yang sama. Yang berbeza hanyalah nama skim tersebut. Orang yang mahukan keuntungan mudah dan mereka yang terdesak selalunya adalah prospek bagi pembina skim piramid ini.

 

Ini adalah kisah bagaimana Albania runtuh akibat skim piramid pada 1997 yang membawa kepada tragedi ekonomi terburuk negara itu dan diheret ke kancah perang saudara berdarah.

  

Skim Piramid

Skim ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia adalah modus operandi klasik yang kekal relevan hingga zaman sekarang. Ianya tetap menjaminkan pulangan lumayan yang anda tidak akan dapat daripada mana-mana skim pelaburan yang sah mahu pun pelaburan emas. Mereka selalunya akan menggunakan terma pendapatan pasif.

 

Hakikatnya, anda perlu merekrut pelabur baru untuk mendapatkan bonus. Lebih ramai yang direkrut bermakna lebih bonus untuk anda. Mereka yang direkrut akan merekrut lagi orang lain menjadikan bonus anda semakin besar. Selagi ada orang baru melabur, selagi itulah anda akan mendapat bonus.

 

Skim ini akan runtuh sekiranya tiada lagi pelabur baru direkrut atau pun jumlah pelabur baru terlalu sedikit. Ketika ini, mereka yang berada di atas piramid sudah pun merasai kemewahan penipuan ini. Bagi yang berada di bawah, andalah mangsa skim.

 

Ciri-ciri skim piramid oleh laman KPDN.

 

 

Era Komunis ke Kapitalis

Selepas Perang Dunia kedua, negara Balkan ini diperintah oleh diktator Enver Hoxha. Beliau berperang kepada dasar autarky dan pengasingan secara sepenuhnya daripada dunia luar. Hoxha sendiri telah memutuskan hubungan dengan negara komunis utama dunia ketika itu iaitu Kesatuan Soviet pada awal 60an dan juga China setelah kematian Mao Zedong pada 1978. Hoxha percaya bahawa Albania akan maju dengan berpaksikan modul kominisme tulen. Pengasingan ini terus menjadikan Albania mundur dan terasing di Eropah.

 

Setelah Hoxha meninggal dunia pada 1985, corak politik Albania berubah. Pada 1992, Parti Demokratik telah menerajui Albania dan membuka pintunya kepada dunia dan kapitalisme.

 

Bertahun di bawah cengkaman diktator, mafia, rasuah dan infrastruktur dan sistem perbankan yang runtuh, kerajaan ini tidak mempunyai idea tentang pasaran terbuka yang bakal digunapakai di Albania.

 

 

Harapan Pada Pelaburan

Pengasingan selama 4 dekad oleh Hoxha jelas memberikan kesan yang dahsyat kepada rakyat Albania. Taraf hidup yang rendah menjadikan mereka hidup untuk bertahan hari ke hari. Sehinggalah Albania dibuka kepada dunia luar, berbondong-bondong syarikat pelaburan masuk dan membuka peluang kepada pelaburan kepada rakyat Albania. Pengasingan berdekad lama itu membuatkan rakyat Albania berfikir mungkin inilah cara dunia luar menjana kesenangan.

 

Di antara syarikat itu adalah VEFA Holding. Syarikat ini pada asalnya mempunyai pasar raya, agensi perlancongan, pengangkutan dan stesyen minyak. Setelah kejatuhan komunisme, VEFA mula mengambil kesempatan kerana kelemahan sistem undang-undang dan sistem perbankan yang sangat lemah ketika itu. VEFA mula menerima deposit daripada rakyat Albania dan menjanjikan pulangan tinggi serta luar biasa sehingga 8% sebulan. Tambah menyakin lagi di mana VEFA juga disokong kerajaan ketika itu dan juga diiklankan di siaran televisyen di seluruh Albania.

 

Iklan Pelaburan VEFA

Maka berpusu-pusulah rakyat Albania untuk melabur. Mereka menjual dan mencagar rumah kediaman, tanah, harta warisan bahkan juga ternakan. 2/3 rakyat Albania melabur di pelbagai jenis pelaburan dan paling besar adalah di VEFA di mana dikatakan dana terkumpul ketika itu adalah AS$1.2 bilion; 10% daripada KDNK Albania sendiri.

 

Tidak mereka sedari semua pelaburan itu hanyalah sebuah sistem cepat kaya.

 

 

Keruntuhan Sebuah Harapan

Pada penghujung 1996, skim-skim pelaburan di Albania mula runtuh. Skim pelaburan ini sebenarnya adalah skim piramid yang mana ia mulai rebah kerana gagal membayar faedah kepada pelabur. Maka rakyat Albania mula menyerbu bank untuk mengeluarkan wang mereka tetapi semuanya telah tiada. Mereka telah menjadi muflis. Jutaan rakyat Albania kecewa dan merasa tertipu. Mereka yang miskin kini menjadi papa kedana.

 

Rakyat semakin marah dan mereka mula turun ke jalanan.

 

 

Penderitaan Berdarah

Kemarahan rakyat mula meletus. Mereka berarak ke jalan-jalan utama ibu kota bagi menuntut kembali wang mereka. Ada juga pelajar-pelajar universiti yang membuat mogok lapar tanda protes. Awalnya protes ini dilakukan secara aman sehinggalah pada Februari 1997, pihak keselamatan mula menembak peluru hidup ke arah penunjuk perasaan. Tindakan ini telah mengheret Albania ke kancah penderitaan yang lebih parah.

 


Seluruh Albania menjadi huru-hara. Perdana Menteri Albania ketika itu Aleksandër Meksi, meletak jawatan dan darurat di seluruh negara telah diisytiharkan. Walaupun darurat telah berkuatkuasa, Albania masih gagal mengawal rakyatnya. Ini berikutan anggota polis dan tentera juga menjadi mangsa kepada skim pelaburan yang disokong kerajaan ini. Mereka mula meninggalkan depoh senjata, balai polis dan kem tentera seterusnya dijarah oleh penunjuk perasaan.

 


Lebih 700,000 ribu senjata api tersebar ke seluruh Albania. Dengan populasi Albania ketika itu sekitar 3.5 juta orang, dianggarkan sekurangnya satu keluarga memiliki satu senjata api. Maka bermulalah episod perang saudara di antara rakyat. Mereka menjarah apa saja mahu pun sesama mereka. Dalam beberapa bulan, lebih kurang 2,000 nyawa melayang akibat perang ini. Pihak berkuasa ketika itu juga kehilangan kawalan ke atas bandar-bandar besar yang majoritinya berada di selatan Albania. Ada juga kampung-kampung yang ditinggalkan kerana penduduknya melarikan diri ke Itali, Greece, Jerman dan negara barat lain.

 


Pada 28 March 1997, PBB meluluskan resolusi 1101 di mana ianya membenarkan penubuhan sebuah pasukan perlindungan multinasional untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan dengan selamat dan segera seterusnya mewujudkan persekitaran yang selamat untuk misi-misi antarabangsa di Albania. Operasi Alba ini diketuai oleh Itali dan disertai oleh negara Eropah lain seperti Perancis, Greece, Romania, Sepanyol dan juga Turki. Pasukan Alba juga memastikan pilihanraya dapat dijalankan untuk membentuk kerajaan baru Albania.

 

 

Kesimpulan

Albania, sebuah negara juga tumbang kerana skim cepat kaya. Skim piramid ini lebih dikenali sebagai skim cepat kaya. Ianya dibaiki dari masa ke semasa bagi menjamin anda akan menjadi sebahagian piramid ilusi kekayaan ini. Di Malaysia sendiri ramai sudah menjadi mangsa kepada skim cepat kaya ini. Ramai yang inginkan kekayaan cepat dan luar biasa mengatasi logik pelaburan sebenar.

 

Sekiranya pelaburan itu menjanjikan pulangan yang tinggi dan lebih daripada pelaburan sah sedia ada, maka itulah skim piramid. Bezanya di manakah anda di dalam piramid ‘kekayaan’ itu?

 

Hoxha mati dan meninggalkan negara dalam penderitaan dan ribuan bunker akibat sifat paranoidnya.

Catat Ulasan

Terima kasih atas komen anda

Instagram

I am Mr Shafique | Designed by Oddthemes | Distributed by Gooyaabi