Bayangkan kelangsungan hidup anda terletak pada permainan yang ditentukan oleh nilai daun terup. Setiap yang gagal menamatkan permainan akan mati. Itulah yang dipaparkan di dalam Alice In Borderland. Sebuah penerbitan asli dari Netflix bergenre thriller.
Pelakon:
- Kento Yamazaki sebagai Ryohei Arisu
- Tao Tsuchiya sebagai Yuzuha Usagi
- Nijiro Murakami sebagai Chishiya
- Yuki Morinaga sebagai Chota
- Keita Machida sebagai Karube
- Ayaka Miyoshi sebagai Ann
- Dori Sakurada sebagai Niragi
- Aya Asahina sebagai Hikari Kuina
- Nobuaki Kaneko sebagai Hatter
- Sho Aoyagi sebagai Aguni
Ryohei Arisu adalah anak dari keluarga yang berada. Namun begitu dia begitu obses terhadap permainan video sehingga dia tersingkir dari universiti. Walaupun begitu dia mempunyai 2 rakan karib tempat dia meluahkan perasaannya iaitu Chota dan Karube. Kerana malas mendengar teguran abangnya supaya berubah, Arisu keluar dari rumah seperti biasa untuk melepak bersama Chota dan Karube.
Mereka menghabiskan masa dengan bersiar-siar di Shibuya. Arisu begitu gembira. Tiba-tiba berlaku sedikit kekecohan. Mereka melarikan diri dan bersembunyi di tandas lelaki laluan keretapi bawah tanah. Tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Keriuhan Shibuya tadi tiba-tiba sahaja hilang.
Mereka mendapati tiada manusia lain di situ. Hanya mereka bertiga yang kebingungan dengan apa yang terjadi. Tiba-tiba skrin iklan gergasi menyala menunjukkan arah ke arena permainan. Ketiga-tiga mereka melangkah mengikut tanda arah tersebut. Maka bermulalah saat kehidupan mereka bergantung dengan menamatkan permainan untuk meneruskan kehidupan esok.
Arisu bertekad untuk membongkar dan menghentikan semua ini dengan mencari Game Master kepada permainan yang mereka lalui. Untuk mencapai objektifnya, Arisu akan belajar banyak perkara yang membentuk dirinya.
Alice In Borderland ini diadaptasi dari manga yang diterbitkan di Weekly Shonen dari 2010 hingga 2016. Musim pertama mempunyai 8 episod dan Netflix sudah merancang untuk musim keduanya yang belum lagi diberitahu tarikh pembikinannya.
Bergenre thriller, drama ini sesuai untuk 18 tahun ke atas sahaja kerana mempunyai adegan yang tidak sesuai untuk tontonan bawah umur. Saya memang peminat tegar jdrama, tapi Alice In Borderland ini tidak akan masuk senarai kegemaran kerana walaupun ianya drama dari Jepun, saya merasakan acuannya lebih kepada barat. Namun begitu, ianya masih boleh dilayan. Cuma tak pasti saya akan tonton musim keduanya.