Sesak di waktu cuti dan hujung minggu, saya pernah mengalami insiden clutch hangit di sana membuatkan saya berat hendak ke Cameron Highlands sekaligus menjadikan ia destinasi yang saya kurang gemar untuk pergi. Tapi pada penghujung Disember lalu, saya kembali ke Cameron Highands.
Rancangan berkhemah ini dirancang oleh sahabat Facebook iatu Cikgu Mart. Tarikh disasarkan pada suku tahun ke-empat di mana ada banyak cuti sekolah ketika itu. Tambahan pula musim hujan, rancangan cuma menanti masa sesuai untuk dilaksanakan. Sehinggalah tragedi tanah runtuh di Batang Kali berlaku. Rancangan ditangguhkan seketika.
Setelah meneliti cuaca yang baik di hujung tahun, sepakat semua memilih 31 Disember 2022 untuk ke Cameron Highlands. Lokasi pula yang dipilih bukanlah di sekitar tempat tumpuan pelancong. Saya begitu teruja untuk ke sana kerana kali pertama ride ke tanah tinggi ini.
Maka pada pagi 31 Disember, perjalanan dimulakan dari Kawasan Rehat dan Rawat Juru. 3 orang rider sahaja yang terlibat iaitu Cikgu Mart, Harissman (Man) dan saya sendiri. Saya bersyukur mengenali kedua sahabat ini yang memang berpengalaman luas dalam bidang outdoor dan ride. Rentak perjalanan memang santai seperti yang dipersetujui semua.
Kami tiba di Cameron Highlands sesudah tengah hari. Selesai berehat dan makan tengah hari, barulah kami menuju ke tapak perkhemahan yang diusahakan oleh kawan Cikgu Mart. Jalannya menuju Stesyen Mikro Brinchang. Jauh dari hiruk pikuk jalan utama.
Seketika mendaki menyelusuri kebun sayur dan ladang teh, akhirnya kami semua tiba di Azam’s Orange Farm Campsite. Sebuah tapak perkhemahan di dalam kebun limau. Anda akan disajikan dengan panorama yang memukau mata. Deruan angin yang begitu dingin akan menyambut anda. Semakin lewat petang, kabus akan mula menjengah anda silih berganti. Pastikan khemah anda daripada fabrik yang baik. Risau kesan kabus tersebut akan membuatkan dalaman khemah anda ‘berpeluh’. Kelengkapan asas juga memadai.
Sebenarnya, antara kami bertiga, masing-masing tidak pernah sampai ke situ. Lokasinya yang begitu menenangkan. Boleh petik limau untuk makan di situ secara percuma jika kena musimnya. Waktu malamnya memang sangat menenangkan. Mungkin inilah yang dikhabarkan sebagai ‘healing’ di media sosial. Sesungguhnya besar kekuasaan tuhan menghamparkan alam untuk manusia nikmati.
Malam itu, awalnya kami mahu berjaga sehinggalah sampai detik 12 malam berakhirnya tahun 2022. Mungkin kerana letih ride, kami masuk tidur awal di khemah masing-masing. Malam itu begitu sejuk. Saya tersedar melihat cuaca 13 darjah Celsius. Tidak pernah rasa begitu sejuk sehingga apa sahaja benda yang ada di dalam khemah saya gunakan untuk memanaskan badan.
Sekiranya anda berkereta, anda perlu meletakkan kereta di tempat yang dikhaskan kerana tidak ada tempat meletak kereta berhampiran tapak perkhemahan. Anda dan barangan perkhemahan akan dibawa dengan kenderaan pacuan 4 roda milik pemilik tapak perkhemahan.
Tempat ini berhampiran dengan habitat helang. Jadi berhati-hatilah sekiranya anda mahu menerbangkan dron.
Sebarang pertanyaan anda boleh ke laman Facebook Azam’s Orange Farm Campsite.