![]() |
Sekitar majlis ibadah korban qariah Kubang Ulu, Bukit Mertajam |
Berkongsi foto makanan, peluk-peluk dan lain-lain rasanya sudah cukup banyak. Jika musim kemalangan jalan raya, gambar mayat juga dikongsi tanpa segan silu. Mungkin orang begini terdorong untuk mendapatkan populariti di media sosial dengan menyajikan sesuatu yang segar dan panas kononnya tanpa mengambil kira sensitiviti bahan yang dikongsikan itu.
Cukup. Kembali ke cerita utama.
Kembali kita ke Aidiladha. Syukran. Saya juga sempat menunaikannya kali ini. Kali ini saya sempat membawa kamera saya iaitu Nikon D80 dan lensa Nikkor 50mm F/1.4 untuk merakam suasana ibadah korban di qariah Kubang Ulu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan pantas. Hujan yang turun semalaman juga berhenti seketika memberi laluan kepada ibadah ini.
Ramai yang merakam suasana ketika ibadah ini berjalan termasuk saya. Tidak kurang telefon pintar, tablet dan sebagainya janji boleh merakam suasana. Ada juga yang merakam saat haiwan korban disembelih. Saya harap itu tidak tersebar.
Saya sendiri kurang selesa sebenarnya dengan imej begitu tersebar di internet. Ibadah itu memang ibadah tapi secara peribadinya ada yang boleh dikongsikan dan ada yang tidak perlu. Seingat saya tahun lepas ada juga kenalan yang berkongsi video saat sembelihan itu. Bagi saya kurang enak. Ada yang nampak riak dengan kepala lembu yang siap dilapah. Siap posing selfie lagi.
Ibadah yang kita jalankan ini adalah kesinambungan dari ujian yang Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail hadapi. Adakah kita mengambil intipati daripada ibadah ini? Bandingkan pengorbanan hidup kita dengan mereka yang tanpa banyak soal menurut perintah Allah.
Kita pula sebaliknya. Asyik dan leka berkongsi apa yang kita lakukan sampai kita melampaui batasan. Tidakkah kita lupa akan sikap merendah diri itu?
Masihkah kau ingat?