Sebenarnya pagi kelmarin saya ada bermimpi. Tertidur bersama si kakak ketika dodoikan dia. Mimpi bermula di Kelantan. Sebab saya cam daripada loghatnya. Dalam mimpi tersebut saya bersendirian sedang mencari foto jalanan di sana. Tidak pasti akan lokasi secara tepatnya. Nama pun mimpi.
Sedang saya berjalan dan merakam foto saya tiba di sebuah jeti nelayan. Kelihatan seperti jeti yang usang. Saya melihat sekitar kawasan jeti tersebut. Sehinggalah saya di sapa oleh seorang pakcik yang duduk bersandar di tepi tiang.
"Anak, cari apa tu?'
"Cari foto, pakcik"
"Anak ada seringgit?" pintanya dalam loghat Kelantan.
![]() |
Kredit kepada laman sesawang Bank Negara Malaysia |
Saya meraba-raba mencari dompet. Terkejut juga tiada wang di dalamnya. Saya seluk poket kanan. Tanpa ragu saya hulurkan kepadanya.
"Ada pun seringgit je, pakcik".
"Seringgit pun jika anak ikhlas, ganjaran dari Dia tu tak ternilai. Tak akan mampu dibeli dengan duit setinggi gunung".
Terkedu sekejap. Betul katanya. Sedekah itu amalan yang mudah. Yang penting ikhlas. Jika sedekah ribuan ringgit tetapi ada unsur riak, tidak ke mana juga amalan tersebut.
"Anak cari foto apa sebenarnya sampai ke sini?" tanya pakcik tersebut.
Saya sambil memegang kamera berkata "Nak rakam kehidupan manusia, pakcik. Nak sampaikan cerita dari kehidupan untuk kehidupan".
Kemudian saya hulurkan kamera ke pada pakcik tersebut yang masih bersandar di tiang itu. Dia membelek-belek kamera itu dan berkata, "Kamera ni kecil namun dosa yang kita buat dengannya itu besar. Anak gunalah ia sebaiknya. Janganlah sebab alat sekecil ini heret kita ke neraka".
Saya terdiam lagi. Kata-kata pakcik tersebut memang tiada salahnya. Sekecil perkara dosa mampu heret kita ke neraka yang terdalam.
"Anak nak cari fotokan? Anak ikut sungai sebelah kanan jeti ni. Terus saja berjalan. Moga anak akan dapat apa yang anak cari. Terima kasih atas sedekah anak ini. Semoga dibalas pengorbanan kamu" kata pakcik tadi.
Saya terus menuju ke arah yang dikatakan tanpa sangsi. Ya, saya ikuti sungai itu. Entah bagaimana saya sampai ke sebuah bandar besar penuh dengan pencakar langit. Saya terus berjalan dan sampai ke sebuah padang yang luas.
Di situ ada rumah yang besar dan mewah. Keluarga saya menanti dengan penuh senyuman. Di situ juga ada sebuah premis perniagaan di mana papan tandanya tertera KartelKandid. Saya terjaga akibat dikejutkan si kakak yang meminta susu. Sejam seterusnya terus masuk waktu Subuh.
Kebingungan seketika terus saya capai telefon bimbit dan menulis tentang mimpi ini. Anehnya mimpi ini amat saya ingat akan perinciannya. Berbeza dengan sebelum ini di mana saya sekadar mengingati sebahagian kecil dari mimpi.
Apa maksudnya? Saya tidak mahu fikirkan kerana pesanannya sudah jelas di situ. Semoga kita semua dilindungi dari melakukan dosa.
Insyaallah.