Mengembara Bersama Upin Ipin dan Keris Siamang Tunggal

2 minute read
0

Upin Ipin bermula pada 2007 sebagai sebuah projek sampingan kepada filem animasi Les' Copaque yang pertama iaitu Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan pada 2009; Upin Ipin telah mengorak langkah seterusnya memberi nafas baru di dalam dunia animasi Malaysia. Upin Ipin dan rakan-rakannya kembali mencuri tumpuan layar perak Malaysia dengan kemunculan filem terbaru mereka iaiti Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal. Ini adalah filem ketiga keluaran Les' Copaque di mana sebelum ini mereka mengeluarkan filem kedua mereka, Upin Ipin: Jeng Jeng Jeng.


Secara jujurnya, saya tidak langsung menonton trailer Keris Siamang Tunggal ini. Saya simpan kejutan untuk diri sendiri untuk melihat sejauh mana perginya Les' Copaque dan tenaga animasi tempatan. Saya begitu teruja dengan animasi ini kerana sudah lama menonton siri pendek Upin Ipin di televisyen sehingga menjadi kegemaran anak-anak walau diulang tayang berkali-kali.

Mula ditayangkan pada 21 Mac 2019, filem ini memperolehi RM 5.3 juta kutipan selepas empat hari tayangan. Satu pencapaian yang menakjubkan bagi bidang animasi negara. Tiket pantas habis dijual walaupun pada Rabu (27.3.2019). Apa yang saya jangkakan adalah di luar dugaan.


Bermula dari stor Tok Dalang, Upin dan Ipin menjumpai sebilah keris lama yang aneh. Bertitik tolak dari itu, mereka tercampak ke dunia Inderaloka yang diperintah oleh Raja Bersiong yang kejam. Memang satu garapan menarik di mana filem ini menampilkan watak-watak dari cerita rakyat seperti Mat Jenin, Bawang Putih, Bawang Merah dan juga Nujum Pak Belalang. Tambah menarik lagi garapan ini membawa anda melihat watak-watak cerita rakyat ini dari sudut yang berbeza. Batu Belah Batu Bertangkup juga ada di dalam filem ini. Sememangnya saya seolah tenggelam di dalam dunia fantasi Keris Siamang Tunggal ini.

Runut bunyi bagi Keris Siamang Tunggal ini memang hebat. Dikuasakan lagi dengan babak animasi yang begitu menakjubkan. Adunan muzik rakyat, ghazal dan orkestra bergabung menghasilkan lagu Keris Sakti yang membuatkan saya terngiang-ngiang hingga saat penulisan ini dibuat. Rasa macam hendak ikut menari bersama Upin Ipin dan rakan-rakan ketika babak Nakhoda Ragam menyanyikan Keris Sakti ini. Tidak lupa juga runut bunyi kedua ketika bawang Merah menyanyi yang mana lagu tersebut dibawakan oleh Ernie Zakri.


Memang saya sangat berpuas hati. Seolah tenggelam bersama Upin, Ipin dan rakan-rakan mengembara ke pelusuk Inderaloka. Ayuh, ke pawagam GSC untuk menonton. Jika ada kesempatan, saya akan mengulang tonton filem Keris Siamang Tunggal ini. Jika tidak pun akan saya tunggu keluar di saluran Astro Best untuk dilanggan. Memang berbaloi setiap sen yang anda belanjakan untuk tiket.

Kredit foto kepada laman Facebook, Upin Ipin.
Kredit video kepada laman YouTube, Les' Copaque Production.
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !