Drama Oh! My Boss! Koi wa Bessatsu de adalah sebuah drama 10 episod yang ditayangkan bermula 12 Januari 2021 di Jepun. Ianya mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis iaitu Suzuki Nami dari dari sebuah pekan kecil mencari makna impian dan tujuan hidup di Tokyo.
Suzuki adalah seorang gadis yang lurus. Ibunya selalu berpesan supaya carilah suami yang kerjanya baik dan stabil serta hiduplah dengan tenang. Membesar dengan pegangan itu, Suzuki tidak mempunyai impian hidup. Dia cuma mahu berkahwin dan hidup dengan baik. Maka dengan itu, Suzuki ke Tokyo untuk bertemu jejaka idamanya iaitu Ken-chan. Seorang senior sekolahnya dahulu.
Suzuki mendapat temuduga di sebuah syarikat penerbitan di Tokyo. Dia memohon untuk bekerja di bahagian pengurusan kelengkapan. Tetapi dia gagal temuduga tersebut. Sebaliknya dia ditawarkan kerja bidang ‘pengurusan’ di sebuah unit baru syarikat tersebut. Unit tersebut bakal menerbitkan majalah fesyen, MIYAVI. Maka Suzuki menempatkan dirinya di Tokyo. Selangkah dekat dengan Ken-chan.
Hari pertama Suzuki melapor diri, keadaan sudah kelam kabut. Tugasnya tidak seperti yang dibayangkan sebelum ini. Menjadi pembantu peribadi kepada ketua editor, Horai Reiko begitu menguji dirinya. Reiko tidak tahu menahu langsung tentang perihal kreatif penghasilan majalah. Tertekan, Suzuki hampir putus asa dan mahu berhenti kerja.
Walaupun dengan bos yang begitu kejam di mata Suzuki, dia tidak juga berhenti. Setiap kali krisis terjadi, Suzuki mula melihat tempat kerjanya dengan lebih jelas. Dia mula mengenali semua yang bertugas di unit tersebut.
Suzuki juga berkenalan dengan seorang jurukamera. Di dalam masa yang sama hatinya menaruh harapan untuk meraih cinta Ken-chan. Mampukah Suzuki menghadapi semua ini ketika menjadi pembantu peribadi kepada bosnya yang begitu kejam?
Drama ini mempunya elemen motivasi yang saya sangat suka. Boleh dikatakan agak biasa bagi drama di Jepun tapi bagi saya sendiri, ia menceriakan hari saya setelah seharian bekerja. Boleh dikatakan ibarat filem The Devil Wears Prada (2006) tapi versi drama.
Apa yang suka adalah bagaimana pengarah memaparkan proses penghasilan sebuah majalah. Mungkin tidak tepat tetapi cukup membuatkan penonton seperti saya terhibur. Elemen percintaan diselitkan komedi dan adakalanya agak cliché namun tidak menjejaskan mood tontonan.
Pelakon:
- Kamishiraishi Mone sebagai Suzuki Nami
- Nanao sebagai Horai Reiko
- Yuta Tamamori sebagai Horai Junnosuke
Drama ini mempunyai spin-off bertajuk Oh! My Tsundere! Koi wa Bessatsu de.