Baru-baru ini saya dan isteri meluangkan masa berjalan-jalan setelah mencari kasut. Selesai pembelian, kami berjalan-jalan lagi untuk menghabiskan waktu sehinggalah kami terjumpa Jaya Grocer. Di situlah saya terjumpa satu minuman dalam tin yang kelihatan unik dengan harga 99 sen yang sejarahnya bermula tiga dekad yang lalu.
Lautan Industri Minuman Ringan
Minuman ini adalah teh yang ditin dan dijenamakan sebagai Arizona. Diasaskan oleh Don Vultaggio dan rakan kongsinya John Ferolito pada 1992, mereka membangunkan Arizona Beverages dan melangkah masuk ke dunia minuman ringan yang ketika itu sedang dikuasai oleh Snapple, Lipton dan Nestea yang mana turut memasarkan produk yang sama. Rata-rata pesaing menjual minuman mereka pada harga 99 sen untuk 16 auns tetapi Arizona mengambil keputusan menongkah arus dengan menawarkan 24 auns hanya untuk 99 sen dan ianya dicetak terus di tin. Ini memberikan lebih nilai pembelian kepada pembeli.
Keunikan Arizona Beverages
Arizona bukan sahaja menonjolkan diri mereka dari saiz produk, tetapi mereka juga menggunakan rekaan yang menarik di tin-tin minuman mereka. Rekaan ini diinspirasikan oleh isteri Vultaggio yang dipengaruhi budaya di barat daya Amerika. Ia menampilkan warna yang sangat terang, menonjol, berwarna-warni dan selesa dipandang. Strategi yang menonjol ini berkesan kerana kebanyakan pelanggan tertarik dengannya. Ini adalah langkah awal untuk mengukuhkan Arizona di dalam industri.
USD 99 Sen
Arizona melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh gergasi minuman lain ketika itu dengan mencetak terus harga 99 sen di tin. 24 auns minuman dengan harga 99 sen, ianya mula menjadi ikon di dalam budaya pop di mana Arizona melambangkan nostalgia yang seiringan dengan masa. Walaupun tindakan mencetak harga terus di tin mendatangkan kritikan, Arizona tidak berganjak daripada keputusan mereka sekaligus menjadi tunggak kepada jenama mereka sendiri. Vultaggio juga pernah berkata di dalam sebuah temuramah kenaikan harga Arizona adalah kegagalan mereka di dalam strategi perniagaan dan ini meneguhkan lagi komitmen mereka terhadap nilai yang ditawarkan kepada pembeli.
Kawalan
Dunia korporat tidak akan lari daripada isu perebutan hak milik dan kawalan. Arizona Beverages juga tidak terlepas daripada sumpahan dunia korporat ini. Kedudukan Arizona Beverages di posisi bahaya akibat perebutan di antara dua rakan kongsi ini. Pertikaian sedekad di antara Vultaggio dan Ferolito ini akhirnya berjaya diselesaikan dengan Vultaggio membayar 1 billion USD kepada Ferolito sekaligus menjadikannya pemilik tunggal Arizona Beverages. Ini adalah pertikaian korporat terpanjang dan terpanas di New York ketika itu.
Tekanan Inflasi
Harga 99 sen bagi 24 auns sudah pun menjadi ikonik kepada Arizona. Namun begitu, ekonomi dunia ini ada naik dan turunnya. Ketika dunia menghadapi pandemik yang meningkatkan inflasi, Arizona terpaksa mengambil keputusan berat bagi meneruskan kelangsungannya. Arizona Beverages mengambil doktrik shrinkflation yang diamalkan oleh industri lain bagi mengatasi kos pembuatan dan pengeluaran. Untuk mengekalkan harga 99 sen, kini Arizona dipasarkan semula dengan 22 auns. Harga tidak dinaikkan dan mereka berjaya menghadapi inflasi serta pandemik.
![]() |
https://pin.it/1xhFQxRez |
Kekal Di Dalam Industri
Sebagaimana produk lain, Arizona Beverages juga terus kekal inovatif untuk mengukuhkan kedudukan mereka di dalam industri yang sentiasa bersaing ini. Mereka juga mencipta perisa-perisa baru tetapi mengekalkan identiti Arizona. Vultaggio sendiri yang menilai dan memantau perisa baru ini supaya selari dengan apa yang dipercayai oleh pelanggan. Perisa baru seperti Green Tea with Honey dan Arnold Palmer melonjakkan nama dan jualan Arizona Beverages sekali lagi. Arnold Palmer sendiri terjual sebanyak 500 juta tin pada tahun lepas sahaja.
Saya sendiri tidak membelinya. Setin dalam harga enam ringgit lebih. Sebab utamanya adalah saya was-was dan mengambil jalan untuk tinggalkan. Namun begitu, saya suka melihat grafik di tin minumannya. Agak segar dan menonjol warnanya.
Catat Ulasan
Terima kasih atas komen anda