Kurosu adalah seorang lelaki yang hidup dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat menempatkan dirinya di universiti. Menjadi seorang hikikomori, dia mula mengasingkan diri dari masyarakat. Sehinggalah pada suatu malam, dia cuba membunuh dirinya sendiri.
Kemuncak tekanan yang dihadapi Kurosu membawanya kepada keputusan menamatkan nyawanya sendiri. Dia menggantung dirinya. Kurosu terseksa di saat kematiannya. Namun begitu takdirnya tidak berakhir malam itu. Tempat dia menggantung diri itu runtuh. Kurosu terselamat.
Dalam kegelapan kediamannya, Kurosu amat kecewa tidak dapat membunuh dirinya sendiri. Tiba-tiba Kurosu melihat ada cahaya menembusi biliknya yang memang sudah amat gelap. Rupanya terdapat lubang di dinding akibat rak yang runtuh menyebabkan Kurosu masih selamat. Perlahan Kurosu menghampiri lubang tersebut.
Kurosu begitu terkejut melihat kediaman di sebalik lubang itu. Seorang gadis yang begitu cantik dengan perwatakan lembut tinggal di sebelah kediamannya. Tidak pernah dia melihat gadis ini. Terus Kurosu jatuh cinta pandang pertama terhadap gadis ini. Esoknya nasib Kurosu menyebelahinya apabila gadis tersebut menyapanya di luar kediaman. Mereka pun berkenalan dan makan bersama.
Sehingga satu malam, seperti biasa Kurosu akan mengendap gadis bernama Miyaichi ini.Tetapi malam itu dia melihat Miyaichi bersama seorang lelaki. Tiba-tiba lelaki tersebut dikelar Miyaichi. Terkejut dengan apa yang terjadi, Kurosu menjerit dan Miyaichi pun menyedari pembunuhannya dilihat Kurosu.
Miyaichi mengejar Kurosu hingga ke atas sebuah bangunan. Kurosu menyerah dan meluahkan perasaannya. Bermula dari insiden tersebut, mereka menjadi rapat dan berpacaran. Itu bukanlah kali pertama Miyaichi membunuh. Kurosu tetap mencintai Miyaichi. Namun begitu Kurosu hairan kenapa semua pembunuhan tersebut tidak mendapat skop berita dan dia cuba mencari apa yang tersembunyi di sebalik pembunuhan Miyaichi.
Ke manakah penghujung percintaan mereka ini?
Sebuah filem yang disulam dengan babak komedi romantik. Tidak terlalu berat, romantik dan sedih. Plot yang agak mendatar sebenarnya. Semuanya biasa sahaja. Bagi saya tidak ada nilai ulang tonton. Filem Hitsuji to Okami no Koi to Satsujin (Love and Murder of Sheep and Wolf) ini adalah filem keluaran tahun 2019. Ianya adalah adaptasi daripada manga bertajuk Ana Satsujin nukilan Rahson.
Pelakon:
- Yosuke Sugino sebagai Etsuro Kurosu
- Haruka Fukuhara sebagai Rio Miyaichi