Belasungkawa Allahyarham Razif

2
Hari terakhir di Bagan Dalam sebelum berpindah ke Perai.

Saat menerima perkhabaran ini, saya dan rakan-rakan yang sedang bertugas ketika itu tergamam. Masing-masing tidak mempercayai berita yang disampaikan. Namun ketentuan tuhan itu benar. Tidak dilewat atau dicepatkan walau sedetik.

Insan hebat dan juga seorang sahabat telah pergi mengadap Ilahi setelah bergelut dengan Covid-19.

Mohamad Razif Bin Amin

Memulakan karier di dalam pos dengan berkhidmat sebagai posmen di Pusat Serahan Mel Jelutong, Pulau Pinang. Kemudian bertukar ke Pusat Mel Butterworth (MPC) di Bagan Dalam dan mula bertugas sebagai seorang kerani di bahagian Posdaftar. Setelah beberapa tahun, dia bertugas sebagai kerani pentadbiran. Saya masih ingat lagi kami yang lain agak gementar setelah dikhabarkan salah seorang dari kerani akan ditempatkan di situ. Sebati dengan operasi, tidak ada yang berani menawarkan diri melainkan Razif. Jalan terus.

“Nak takut apa?” katanya.

Dari sini saya lihat dia begitu menyerlah. Skop kerjanya kini turut meliputi berhubung dengan pengurus-pengurus dan juga bahagian-bahagian pengurusan yang lain. Dia juga terlibat dalam proses pengubahsuaian MPC. Kejayaan MPC memperolehi tahap Gold di dalam 5S juga boleh dianggapkan sebahagian besar usaha Razif. Apa sahaja yang dia ceburi, dia akan buat bersugguh-sungguh walaupun itu kali pertamanya. Banyak projek-projek di MPC yang Razif terlibat dan semuanya berjaya.

Tidak pernah saya dengar dia merungut tentang tugasan yang diberikan. Adakalanya dia sanggup balik lewat dalam memastikan semuanya dalam keadaan yang sempurna mengikut rancangan. Jika ada tugasan lebih masa di bahagian Posdaftar pun dia akan masuk.

Saya bersama Razif dan Safwan di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.

Ciri-ciri sebagai seorang ketua memang sangat terserlah dengan idea-idea yang dikongsikan. Pernah kami bahagian perkeranian MPC bercadang membuat hari keluarga. Razif membuat perancangan teliti sehingga susunan bajet dan juga aktiviti. Semuanya berjalan dengan lancar.

Jika ada yang tidak tahu, Razif juga sangat aktif dalam misi kemanusiaan setempat. Dia banyak terlibat dengan aktiviti NGO. Pada tahun 2014, Razif menyertai NGO masuk ke Kelantan bagi memberi bantuan kepada mereka yang terkesan dengan banjir besar ketika itu. Saya masih ingat menitis air mata mendengar cerita Razif tentang kesengsaraan penduduk yang menjadi mangsa banjir.

Kenangan di Muzium Bank Kerapu, Kelantan.

Apabila Pulau Pinang pula dilanda banjir besar pada 2017, pihak Pos Malaysia Berhad di Butterworth telah melancarkan inisiatif membantu mangsa membersihkan rumah yang terjejas. Razif mengajak saya untuk turut serta dalam misi ini. Selain itu, dia juga yang mengajak dan memberi galakan kepada saya untuk menyertai PKIP Malaysia dan bertugas sebagai jawatankuasa ad-hoc. Sedikit sebanyak saya mula melibatkan diri dengan persatuan.

Akhirnya dia dinaikkan pangkat dan bertugas di bahagian pengangkutan. Walaupun bermula dengan 0 tanpa ada sebarang petunjuk, dia membuktikan dirinya berjaya menyelesaikan tugasan demi tugasan yang diberikan. Ciri-ciri sebagai seorang ketua memang terserlah.

Jika ada kematian di kalangan keluarga pos di Pulau Pinang, selalunya Razif akan sampai. Bukan sekadar ziarah, dia juga akan terlibat sehingga menurunkan jenazah ke liang lahad. Ini yang paling diingati oleh rakan-rakan. Dia juga akan menggerakkan kami semua untuk menziarah dan memberikan bantuan kepada keluarga yang menghadapi kehilangan.

Hari Keluarga perkeranian Pusat Mel Butterworth

Orangnya sangat lantang jika ia perlu demi perkara yang betul. Tidak kira siapa, dia tidak akan berkias. Mesejnya sampai jelas.

“Bukan aku nak rugi apa pun habaq benda betul.”

Itulah dirinya. Tidak berselindung. Berterus terang.

Razif juga pernah berkongsikan perihal penghijrahan hidup yang menjadi teras keluarga. Jika saya boleh simpulkan, ianya ‘from zero to hero’. Sentiasa mengajak rakan-rakan ke arah kebaikan. Amat selesa mengenali diri Razif.

Semoga Allah tempatkan Razif bersama mereka yang beriman. Lapangkanlah kuburnya sehingga ke Hari Kebangkitan. Peribadi dan semangatmu akan menjadi inspirasi kepada saya dan juga rakan-rakan yang mengenalinya.

Allah yang Maha Esa, berikanlah kekuatan dan permudahkan jalan kepada keluarganya menghadapi kehidupan ini tanpa Razif di sisi mereka.
Tags

Catat Ulasan

2Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

  1. Selamat tinggal ajib...saya sepupu wife dia ...selama saya kenal dia mmg baik orangnya tidak pernah ada masalah dalam keluaga sebelah perempuan dia.malah menjadi segan sebab dia orang yang berilmu agama tinggi.apa2 pun takziah pada my cazen kakchik wife Razif.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kami kawan-kawan pun kalau terkenang boleh bergenang air mata. Perginya seorang sahabat yang sentiasa rendah diri dan rajin. Moga dipermudahkan urusan keluarganya dalam menghadapi hari mendatang.

      Padam

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !