Hantu Malaysia tak sama dengan negara lain. Berikut serba sedikit perihal hantu di Malaysia. Kalau hantu kepala hitam, itu biar polis yang cekup.
Langsuir/Puntianak
Popular di Malaysia. Di kampung, hutan, dusun durian dan tanah perkuburan adalah lokasi yang selalu kita dengar penampakan terjadi. Aku tak pasti apa bezanya tapi banyak cerita menunjukkan gambaran yang sama. Ramai kata ia boleh menjelma sebagai wanita yang cantik. Jika dipaku tengkuknya, boleh buat jadi makwe. Tapi kalau wanita yang pakukan dia, jadi orang gajilah nampaknya.
Pocong
Paling kurang di Malaysia tapi majoriti mereka berada di Indonesia. Jarang membuat penampilan di arena filem. Selalunya di telemovie sahaja. Memang tak pernah dapat watak hantu utama. Tewas dengan puntianak. Tanah perkuburan adalah lokasi biasa mereka ditemui. Nama lain adalah hantu bungkus.
Toyol
Nak kata popular tidaklah sangat. Dibela untuk mencuri wang dari jiran tetangga. Dikatakan berwarna hijau dan bersifat seperti budak-budak. Mudah diperdaya dengan kacang hijau. Cuma toyol tidak pernah dipersalahkan jika berlaku kehilangan wang di bank.
Kalau toyol kepala hitam itu toyol moden. Kadangkala dia berkolar biru atau putih juga.
Hantu Raya
Dikaitkan dengan amalan orang-orang dahulu yang membela jin supaya dapat bekerja untuk mereka. Hantu Raya selalunya diberikan tugas menjaga kebun atau kawasan rumah. Dikatakan apabila tuannya berada di luar kawasan dan tidak diberi ‘makan’, ia boleh merupa menjadi tuannya. Orang dulu-dulu kurang pendedahan dengan ilmu agama jadi mereka beranggapan perkara ini biasa.
Hantu Kum Kum
Pernah juga kecoh di Malaysia dengan gangguannya ini. Ada yang ceritakan hantu ini datang di tengah malam sambil membawa bayi dan meminta susu. Dikatakan sebelum menjadi hantu, dia adalah seorang wanita yang mengamalkan ajaran syaitan bagi mencantikkan wajahnya. Akibat melanggar pantang, wajahnya berubah menjadi buruk dan akhir mati. Kenapa dipanggil Kum Kum? Dari penceritaan orang, salam yang diberinya akan ada kum sekali lagi dihujungnya.
Assalamualaikum… Kum.
Penanggal
Orang mati yang diisi dalam tempayan dan dipuja. Apabila malam hari, kepalanya akan keluar sambil membawa isi perut yang bersambung. Zaman dulu kala, diceritakan Penanggal ini akan menunggu wanita bersalin di rumah. Darah yang turun dari lantai akan jadi santapannya. Rumah kampung dulu tinggi dari tanah.
Hantu Air
Hantu yang menetap di dalam air. Selalunya menggoda mereka yang leka di air terutamanya pemancing masuk ke dalam air dan lemas. Apabila ada mangsa lemas yang tidak ditemui mayatnya, nama hantu air mesti kena petik punya.
Saya pernah lihat dan selamatkan pemancing yang tak sedar berjalan masuk ke dalam air sewaktu senja.
Hantu Kopek
Antara hantu yang tidak menyerlah sangat di masa sekarang. Cuma zaman dulu-dulu orang tua-tua akan ingatkan anak cucu supaya tidak bermain di luar sehingga senja kerana bimbang disorok hantu kopek. Digambarkan sebagai seorang wanita tua yang gemar menyorokkan kanak-kanak. Apa yang dia kopek pun tak pasti.
Hantu Jepun
Rasanya ini paling popular di kalangan pelajar berasrama. Kena pula sekolah itu dikhabarkan pernah menjadi markas tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua, memang makin menjadi ceritanya. Selalu yang dilihat adalah sosok tubuh berseragam tentera Jepun berdiri memerhati manusia dalam kesamaran malam. Ada juga yang menceritakan melihat sekumpulan askar Jepun berkawad di tengah malam. Dikhabarkan hantu tersebut adalah tentera Jepun yang dibunuh British ketika Perang Dunia Kedua hampir ke penghujung.
Kapten John
Kalau hantu Jepun untuk budak-budak di asrama, Kapten John ini pula untuk tentera khususnya tentera darat. Ada yang cerita, Kapten John ini paling sinonim kisahnya di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Negeri Sembilan. Penampakan kelibat Kapten John ini selalunya digambarkan sebagai pegawai lengkap berseragam tetapi tidak berkepala. Kata orang, dia dipenggal tentera Jepun di dalam kempen penjajahan Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua.
Kesimpulan:
Apa pun alam ghaib itu wujud. Syaitan dan jin itu sentiasa di sekeliling kita. Iblis akan menjelmakan apa yang kita gambarkan. Sentiasa mohon kepada Allah Yang Maha Esa akan dijauhi dari tipu daya Iblis. Usahlah kita dekatkan diri dengan mencari syaitan. Hayatilah Rukun Iman sebagai seorang Islam. Teguhkan keimanan kita.
Ada lagi sebenarnya tapi rasa malas nak menaip lagi. Lenguh tangan makin terasa akibat divaksin dos pertama pagi tadi. Sambil menaip, teringat beberapa kenangan bersama seorang sahabat. Paling tak boleh lupa pengalaman kami menunggu durian luruh di dusun yang terletak di lereng bukit. Itu untuk cerita di masa lain.
Allahyarham P. Ramlee dalam Laksamana Doremi pernah berkata,
Kalau hantu mesti dia bilang help… Help…
Imej: Freepik