Memakai gelang ketika di pusat kuarantin. |
Covid-19. Tiada siapa pun yang mahu menerimanya. Tidak terlintas di fikiran mana-mana manusia untuk menjadi mangsa kepadanya. Namun ketentuan dan ujian tuhan itu pasti tiba. Cengkaman pandemik ini semakin hari semakin kuat membenamkan jangkitannya di bumi ini.
Saya sendiri pernah dijangkiti Covid-19 setelah melakukan ujian PCR pada 19 Julai lalu. Apabila keputusan keluar pada esoknya iaitu Hari Raya Aidiladha, sekeluarga disahkan positif melainkan anak sulung yang 2 minggu sebelum itu tinggal bersama sepupunya.
Punca saya membuat ujian PCR adalah kerana sehari sebelum itu, ada kenalan pejabat memaklumkan dia positif Covid-19. Kerana kami bertugas di dalam bilik yang sama, saya pun mengambil keputusan untuk membuat ujian PCR bersama isteri dan anak bongsu. Klinik swasta tempat kami menjalani ujian PCR memaklumkan mereka akan memberikan laporan kami sekeluarga kepada KKM. Jadi kami semua menunggu panggilan daripada KKM.
Syukur kepada tuhan kami sekeluarga tidak mengalami gejala yang teruk. Saya sendiri pada awalnya berasa panas badan tetapi tidak demam. Terasa panas di mata. Ibarat panas akibat makan durian. Namun begitu gejala tersebut hanya berlaku pada hari saya menjalani ujian PCR. Esoknya saya rasa normal.
Ujian PCR pada hari Isnin. Sehingga hari Jumaat kami sekeluarga kuarantin kendiri di rumah. Barangan keperluan dipesan melalui saudara mara. Sepanjang kuarantin juga kami minum air kelapa. Tetapi sepanjang tempoh ini, jumlah air yang diminum sangat luar biasa banyaknya. Tetapi sangat kurang buang air kecil. Bangun malam pun saya akan minum air dengan sangat banyak.
Sahabat di pusat kuarantin berkongsi minuman dengan saya. |
Saya ada menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah pada hari ketiga memaklumkan yang kami sekeluarga positif. Hari Jumaat pula isteri dipanggil ke Hospital Seberang Jaya untuk mengambil surat kuarantin yang berakhir pada 28 Julai. Namun begitu saya tidak dapat sebarang maklumbalas daripada Pejabat Kesihatan Daerah.
Pada Sabtu petang 24 Julai, isteri dihubungi oleh KKM mengatakan kami semua akan dibawa ke pusat kuarantin. Tidak dijangka langsung kerana kami beranggapan bahawa akan kuarantin di rumah sahaja kerana masih berbaki 4 hari. Setelah memohon bantuan anak saudara membeli sedikit barangan untuk ke pusat kuarantin, jam 11.15 malam kami dijemput oleh KKM menaiki van.
Saya ditempatkan di PKRC Jawi sementara itu anak dan isteri dibawa ke pusat kuarantin di sebelah pulau. Bangunan ini asalnya tempat latihan Mara. Tiba tengah malam di pusat kuarantin, beratur hampir 45 minit untuk pemeriksaan kesihatan sebelum ke katil. Basah baju akibat keadaan panas.
Sekitar jam 1 pagi sejurus lapor diri. |
Setibanya di tingkat satu yang menempatkan warganegara keadaan gelap. Jam sudah pun menunjukkan 1 pagi. Saya disapa ramah oleh pesakit lain yang masih belum tidur. Mereka juga menunjukkan lokasi katil saya. Setelah menyiapkan katil, mereka meninggalkan saya untuk tidur.
Setiap pagi, pemeriksaan kesihatan akan dijalankan. Pesakit dipanggil mengikut huruf barisan katil. Saya ditempatkan di barisan P. Sepanjang pemeriksaan kesihatan, saya dapat lihat jelas petugas kesihatan yang memakai PPE. Tidak dapat saya bayangkan perasaan mereka yang komited demi tugas. Air peluh berkumpul di sarung tangan yang dipakai dan perlu dibuang selang beberapa ketika.
Tidak banyak yang boleh dilakukan. Bangun, tidur, menonton TV, bersembang dan makan. Ada yang membasuh pakaian selepas makan tengah hari. Posisi kipas juga sedikit kurang. Namun syukur berhampiran dengan katil saya terdapat 2 kipas berdiri. Siangnya memang panas namun menjelang senja keadaan semakin selesa. Menjelang subuh memang sejuk.
Lounge B - Tempat menonton TV dan berehat. |
Makan diberi 3 kali sehari. Sarapan pagi selalunya tidak ramai yang ambil. Ada yang selesa dengan membancuh minuman sendiri dan makan biskut atau pun roti. Untuk makan tengah hari dan malam pula agak baik. Saya kehilangan selera makan sejak hari disahkan positif. Hanya mampu semulut dua sahaja menyuap nasi. Buah sebagai pencuci mulut sahaja akan saya habiskan. Menjelang hari ketiga, saya paksa diri makan lebih sedikit kerana badan mula berangin.
Hari keempat, sejurus habis makan pagi, nama saya dipanggil melalui alat pembesar suara untuk pemeriksaan. Hairan juga selalunya barisan katil saya diperiksa sekitar jam 11 pagi. Setelah diperiksa oleh petugas perubatan dan disahkan sihat, saya dimaklumkan kuarantin telah tamat dan boleh keluar pada jam 1 petang. Semasa keluar, saya diberikan surat tamat kuarantin dan juga sijil sakit. Isteri dan anak saya pula ditambah dua hari hari sebelum ditamatkan kuarantin mereka.
Begitulah kisah dari disahkan positif dan dibawa ke pusat kuarantin. Kesan yang ada adalah masih lagi batuk-batuk cuma semakin berkurangan. Mental dan emosi juga terganggu sebenarnya. Saya elakkan melihat WhatsApp berkaitan kerja. Terpandang sahaja terus emosi rasa tidak stabil. Otak saya tidak mampu menangani perkara begitu kerana akan terus serabut. Saya berdoa agar semuanya beransur baik buat diri saya supaya dapat kembali memberi komitmen dalam tugas.
Semoga Allah angkat pandemik ini dari bumi ini dan berikanlah kesihatan yang baik kepada semua yang terkesan dengan pandemik ini.
Terima kasih kepada semua warga kerja PKRC Jawi dan seluruh warga barisan depan di atas jasa anda semua.
Syukur hg ok...ni adik aku lak positif...aku mujur le duduk asing sorang2...
BalasPadamAda hikmah tu hang dok asing. Waktu gini dapat support keluarga yang kena. Moga depa bebaik semuanya.
Padam