Agak lama tidak menulis. Kali ini tergerak untuk menulis ulasan filem daripada Jepun yang bertajuk Itomichi. Ia ditayangkan pada tahun 2021 ianya diarahkan oleh Satoko Yokohama. Itomichi adalah adaptasi kepada novel dengan tajuk yang sama nukilan Osamu Kashigaya yang mana turut menjadi penulis bersama Satoko Yokohama bagi filem ini. Filem ini bergenre coming of age dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Filem ini berkisarkan kisah seorang gadis pemalu bernama Ito Soma yang dilakonkan oleh Ren Komai.
Filem ini berkisarkan tentang Ito Soma, seorang pelajar sekolah menengah yang sangat pemalu dan begitu pendiam. Ito tinggal di Itayanagi, sebuah pekan yang terletak di dalam daerah Aomori bersama nenek dan ayahnya. Ibu Ito meninggal dunia semasa dia masih di tadika.
Ito mempunyai kemahiran bermain shamisen, sebuah alat muzik tradisional warisan Tsugaru. Pertuturannya mempunyai pengaruh dialek Tsugaru yang kuat menjadikannya mengalami kesukaran berkomunikasi di hadapan orang ramai dan sifat pemalunya menjadikan dia tidak mempunyai kawan-kawan seperti mana orang lain.
Seperti remaja lain di usianya, Ito ingin mencari wang lebih dan jauh di sudut hati, dia ingin mengubah sifat dirinya. Jadi dia mula bekerja di sebuah maid kafe di Aomori. Di sana, dia mempunyai dua orang rakan sekerja, Sachiko, seorang ibu tunggal dan Tomomi, seorang gadis yang bercita-cita untuk menjadi pelukis manga. Dalam masa yang sama, Ito juga bergelut dengan diri untuk menerima dunia baru ini dan juga hubungan dengan ayah serta neneknya di rumah. Adakah Ito dapat mengecap semua yang dimahukan berbekalkan shamisen peninggalan ibunya itu?
Filem ini tidak berat dan juga tidak meleret. Sangat sesuai ditonton oleh seisi keluarga. Kita dapat lihat bagaimana pergolakan jiwa remaja ke arah menjadi dewasa. Saya amat suka color grading filem ini kerana tonanya boleh dikatakan suam menaikkan mood tenang. Sinematografi juga begitu baik selaras dengan mood filem.
Sebenarnya ingin juga memaparkan sisi kebudayaan di mana alat muzik tradisional, shamisen itu sendiri yang menjadi warisan Aomori. Pelakon utama Ren Komai dan juga pengarah Osamu Kashigaya berasal daripada Aomori.
Filem yang tenang dan santai. Tontonan yang berbaloi bagi saya untuk meneutralkan kembali mood filem aksi kebelakangan ini. Sekiranya anda seorang yang introvert, filem ini mungkin akan terasa dekat di hati anda.
0 Ulasan
Terima kasih atas komen anda