Pokju Riverside Campsite

Pada 1 hingga 3 Jun baru-baru ini, saya sekeluarga mengambil kesempatan untuk bermalam di tepi sungai. Saya pernah ke lokasi ini dahulu semasa solo camping dan kembali setahun kemudian bersama keluarga.

 

Menunaikan hasrat isteri dan anak-anak yang ingin berkhemah, saya membuat keputusan untuk ke Pokju Riverside Campsite yang terletak di Kampung Klian Gunung, Ijok, Perak. Perjalanan lebih kurang sejam setengah dari Bukit Mertajam melalui lebuhraya, anda keluar ke Alor Pongsu. Dari situ anda akan melalui jalan dalam hingga ke lokasi. Sejurus anda keluar daripada lebuhraya, jalannya agak beralun dengan tampungan yang tidak sekata untuk beberapa kilometer. Pandu berhemah dan berhati-hati.

Pelawat bukan penginap tidak dibenarkan masuk ke tapak perkhemahan


Ada banyak ulam di sekeliling tapak perkhemahan

Pekan yang anda akan jumpa sebelum ke Kampung Klian Gunung adalah Pekan Ijok. Di sini anda masih lagi boleh membeli keperluan runcit sekiranya diperlukan. Ada beberapa kedai runcit, gerai makanan dan juga dobi layan diri. Masjid Ijok juga terletak di situ. Dari pekan, dalam beberapa minit lagi anda akan tiba ke tapak perkhemahan.

Tempat menarik untuk mengopi di malam hari

Pokju Riverside Campsite ini terletak betul di tepi sungai dengan pandangan bukit di hadapan tapak perkhemahan. Terdapat 4 tapak disediakan di mana salah satunya adalah pondok yang mampu memuatkan 10 orang dewasa. Tapak A hingga C adalah berkeluasan 10x15 kaki. Setiap tapak mempunyai plug point dan sinki. Ada dua tandas dengan salah satunya ada tandas jenis duduk yang mana dibersihkan setiap malam oleh operator. Tandasnya memadai dan juga bersih. Tapak yang disediakan sangat privasi dan tidak terlalu berdekatan antara satu sama lain. Lampu juga diletakkan di sekitar tapak agar tidak terlalu gelap dan cerah.

Pandangan sungai pada waktu malam

Saya memilih tapak D, iaitu tapak jenis pondok. Saya memasang ‘khemah unta’ saiz M dan ketinggiannya cukup di dalam pondok tersebut. Anda masih ada banyak ruang untuk memasak dan berehat sambil memandang sungai yang ada di hadapan pondok. Pondok ini mempunyai 4 soket elektrik untuk kegunaan anda. Turut diletakkan 2 lampu dengan suis dan juga 1 lampu solar. Pada waktu malam, matikan sahaja dua lampu tersebut. Lampu solar itu sudah memadai walaupun samar-samar.

Pandangan luar tapak D

Pintu masuk

Sinki disediakan

Dari beranda tapak D melihat bukit

Memasak sambil melihat sungai di bawah

Kelebihan tapak ini adalah, bahagian bawahnya masih ada ruang. Anda boleh membuka dua lagi khemah bersaiz 2 orang di bawahnya. Anda juga boleh menjadikan ruang ini sebagai ruang santai sambil memantau anak-anak mandi. Hamparkan tikar atau buka sahaja kerusi lipat di situ.

Bahagian bawah tapak D

Di sebelah Pokju Riverside Campsite ini juga terletaknya Kopigun. Sebuah cafe yang mempunyai karekter dan suasana yang unik. Selain menyajikan pelbagai minuman kopi dan olahan, terdapat juga makanan yang lain sangat berbaloi untuk dirasa.

 Untuk tempahan dan pertanyaan tapak, hubungi adik Aqila di +60132473444.

Catat Ulasan

0 Ulasan