Drake Passage (Laluan Drake) ini sering disebutkan sebagai kawasan perairan yang paling merbahaya di dunia dengan ombak yang boleh mencecah sehingga 65 kaki. Menjadi pemisah kepada Lautan Pasifik dan Atlantik, laluan ini telah menelan sekurangnya 800 buah kapal dan 10,000 nyawa mereka yang melintasinya.
Walaupun dengan kecanggihan teknologi pelayaran, navigasi dan juga ramalan kaji cuaca moden, Laluan Drake kekal menjadi satu kuasa yang tidak dapat ditandingi manusia.
Lokasi Laluan Drake
Ianya bermula dari Cape Horn (Chile) hinggalah ke Kepulauan Shetland Selatan di Antartika dengan jarak 600 batu (1,000 km), ia menjadi sempadan semulajadi kepada Lautan Pasifik dan Atlantik. Lautan di sekitar Cape Horn sendiri juga dianggap sebagai merbahaya di mana terletakkan tugu peringatan untuk memperingati ribuan nyawa pelaut yang terkoban di Laluan Drake; harga yang dibayar untuk penerokaan, perdagangan, penjajahan dan juga ilmu pengetahuan.
Asal Usul Laluan Drake
Pakar geologi berpendapat bahawa laluan ini terbentuk sekitar 17-49 juta tahun lalu di mana berlaku pergerakan plat tektonik yang berulang kali hingga memisahkan Antartika dengan tanah Amerika Selatan dan mewujudkan jurang bawah laut sehingga 15,600 kaki dengan purata 3,400 kaki.
Akibat pergerakan plat tektonik ini, jurang yang terbentuk ini membolehkan Artic Circumpolar Current (AAC), arus laut terkuat di dunia mengelilingi Antartika secara tetap dengan arah pusingan jam tidak seperti arus lautan lain. Ditambah pula tiadanya daratan di kawasan laut luas untuk memperlahankan angin menjadikan ombaknya begitu tinggi dan menunggu pelaut yang tidak bernasib baik. Fenomena ini tidak berlaku di mana-mana bahagian lain lautan di dunia. Selain itu bongkah ais dengan saiz berkilometer juga menjadi ancaman ketika menghampiri benua putih Antartika.
Pembentukan AAC ini menjadi pelindung kepada Antartika dengan menghalang kemasukan air bersuhu panas dan membantu membentuk lapisan ais gergasi Antartika.
Arus luar biasa inilah yang menjadikan Laluan Drake sangat bahaya.
Kepentingan Laluan Drake
Pelayaran klasik menggunakan laluan ini kerana ia satu-satunya jalan untuk bergerak di antara Lautan Pasifik dan Atlantik. Namun dengan pembukaan Terusan Panama, hampir semua kapal tidak lagi melalui laluan ini. Terusan sejauh 82 km ini menjimatkan masa dan mengurangkan risiko kemalangan perkapalan di Laluan Drake.
Kini Laluan Drake masih lagi aktif terutamanya kepada penyelidik dan juga perlancongan ke Antartika. Perlu anda tahu, kos untuk menjejakkan kaki ke benua putih ini sangat tinggi kerana risiko yang dihadapi syarikat perkapalan.
Bagaimana Laluan Drake Mendapat Namanya?
Laluan ini ditemui pertama kali pada 1525 oleh pelayar Sepanyol, Francisco de Hoces. Jika anda melihat peta lama Sepanyol, kawasan ini dinamakan Mar de Hoces. Nama Drake pula muncul pada 1578. Sebuah kapal daripada misi penjajahan Sir Francis Drake telah dihanyutkan daripada Selat Magellan. Ini telah menjadi satu penemuan di mana tiada daratan yang bersambung dengan Antartika dan memecahkan teori zaman itu. Bertitik tolak daripada itu, laluan ini mendapat nama Laluan Drake walaupun Sir Francis Drake tidak pernah melaluinya.
Sehinggalah pada tahun 1616, pelayar Belanda, Willem Schouten menjadi orang pertama yang belayar daripada Cape Horn seterusnya melalui Laluan Drake. Kisah kejayaannya tersebar ke seluruh Eropah dan kini mereka tahu terdapatnya laluan air di penghujung benua Amerika Selatan. Kini seluruh Eropah berlumba untuk menerokainya.
Tragedi Di Laluan Drake
1741 – HMS Wager dengan 120 orang krew terpisah dengan skuadronnya ketika melalui Cape Horn akibat cuaca buruk. Kapal mereka terhempas di batu sehingga karam di pantai luar Chile. Mereka yang terselamat, terlibat di dalam pemberontakan sesama mereka yang mana akhirnya, hanya 10 orang sahaja yang berjaya pulang ke England dengan selamat.
1819 – Kapal Sepanyol, San Telmo bertolak ke Peru untuk kempen mematahkan pergerakan kemerdekaan dan anti kolonial di situ. Kapal tersebut kali terakhir dilihat melalui Laluan Drake dan tidak sampai ke Peru. Dipercayai mereka mengalami cuaca buruk dan karam Bersama 644 orang krew. Jika mereka terselamat, kemungkinan mereka menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke benua putih Antartika.
1914 – Sir Ernest Shackleton dan 27 orang krewnya menaiki Endurance dan berlayar ke Antartika pada Disember untuk menjadi manusia pertama menjejakkan kaki di benua putih itu. Namun begitu, Endurance terperangkap di dalam ais di Laut Weddel pada Januari 1915. Selama berbulan, mereka bertahan dengan musim sejuk Antartika yang membadai Endurance yang terkandas. Cuaca sejuk melampau akhinya berjaya mengaramkan Endurance pada 21 November 1915.
Mereka yang terperangkap di atas ais itu terus bertahan dengan memakan anjing laut dan juga penguin. Sehinggalah ais tersebut mula terpecah, mereka menggunakan bot keselamatan yang ada dan bertolak ke Pulau Elephant, sebuah pulau terpencil tidak berpenghuni di Laut Selatan.
Setelah mereka selamat mendarat, Sir Ernest Shackleton bersama 5 orang krew mengambil keputusan menggunakan bot kecil tadi untuk mendapatkan bantuan di Pulau Georgia Selatan. Selama 16 hari mereka mendayung mengharungi Laluan Drake yang ganas untuk mendapatkan bantuan. Menakjubkan di mana mereka berjaya sampai dan mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan krew lain yang berada di Pulau Elephant.
Pada 30 Ogos 1916, Sir Ernest Shackleton berjaya menyelamatkan mereka semua tanpa sebarang kehilangan nyawa yang mana mereka terpaksa menghadapi cuaca Antartika selama 500 hari.
Bangkai kapal Endurance Sir Ernest Shackleton telah ditemui pada 2022 di dalam misi Endurance22. Keadaan kapal masih utuh di dalam lautan sejuk.
2022 – Kapal Persiaran Viking Polaris dalam perjalan merentasi Laluan Drake. Setibanya di tenggara Cape Horn, Viking Polaris dihempas dengan ombak setinggi 16 meter. Ia memecahkan tingkap di 7 bilik, mencederakan 8 orang dan seorang Wanita berusia 62 tahun terkorban akibat insiden tersebut.
Faktor Semulajadi
Terdapat beberapa faktor semula jadi yang menjadikan Laluan Drake ini sangat merbahaya dan sukar diduga.
Antartica Circumpolar Current ini mengalirkan 150 juta meter padu air sesaat ditambah pula dengan Laluan Drake yang sempit menjadikan ianya arus yang lebih kuat daripada gandingan semua sungai di dunia.
Ombak di Laluan Drake dilaporkan pernah mencapai 65 kaki (hampir 20 meter) yang mampu menjadikan kapal besar ibarat mainan di lautan.
Angin di Laluan Drake mampu mencapai kelajuan yang sangat tinggi kerana tiada daratan di sekitar yang mampu memperlahankan kelajuannya.
Fenomena Drake Shake adalah gabungan arus kuat, bombak tinggi dan ribut yang mampu mengganggu pergerakan kapal sehingga karam.
Ketulan ais hanyut juga menjadi ancaman di laluan ini. Ketulan ais A76, sebesar dua kali ganda London pernah direkodkan hanyut ke Laluan Drake dan mampu menjadi ancaman kepada sebarang saiz kapal.
Kesimpulannya, alam semulajadi tidak mampu dijinakkan. Ianya kuasa yang akan terus menang jika kita tidak mengendahkan kekuatannya. Manusia tidak akan menang dengan alam semulajadi. Kita hanya mampu mengikut rentak dan mengelak.
Memetik kata-kata Kapten Stanislass Devorsine yang aktif menyeberangi Laluan Drake:
“Kami perlu memilih masa terbaik untuk menyeberang. Lautan sentiasa lebih kuat daripada kita.”
.jpg)





0 Ulasan
Terima kasih atas komen anda