Pendaki Everest Yang Tidak Pernah Turun

Photo by Martin Jernberg on Unsplash

Gunung Everest adalah impian para pendaki gunung untuk ditawan. Cuaca dan persekitaran melampau menuntut segala-galanya yang ada pada pendaki untuk menawan gunung tertinggi di dunia ini. Sejak 1920-an, dilaporkan lebih 300 pendaki terkorban dalam cubaan menawan puncak tertinggi dunia ini. Lebih mengerikan lagi, jasad mereka kekal membeku di sana dan menjadi sebahagian daripada Everest.

Mayat-mayat pendaki ini kekal membeku di tempat terakhir mereka berada. Ada yang terbaring di laluan utama pendakian, tersorok di celah batu dan tersandar di beg galas seolah menunggu bantuan yang tidak akan tiba. Bagi pendaki lain, mereka bukanlah sekadar jasad tidak bernyawa. Jasad-jasad ini adalah penanda arah dan amaran senyap bahawa mereka telah memasuki Zon Kematian Everest.


Kenapa Mayat Pendaki Ditinggalkan Di Gunung Everest?

Pasti ini adalah persoalan utama yang bermain di minda. Gunung Everest tidak peduli siapa pun anda. Sama ada anda adalah pendaki profesional, ketua ekspedisi yang berpengalaman atau pun pendaki yang cuba mengejar impian seumur hidup, di ketinggian melebihi 8,000 meter dari aras laut dan suhu -40 darjah celcius, setiap kesilapan kecil boleh membawa kepada kehilangan nyawa. Mayat yang membeku juga akan mencecah berat sekali ganda sekaligus menjadikan proses menurunkan mayat boleh sangat bahaya dan mampu mengorbankan lebih banyak nyawa.

 Di Everest, kematian bukanlah kejutan tapi ianya risiko yang sedang menunggu.


H1: Zon Kematian

Zon kematian Everest ini merujuk kepada kawasan altitud tinggi sekitar 8,000 meter dari paras laut di mana kandungan oksigen adalah terlalu rendah untuk menyokong kehidupan dalam tempoh yang lama. Tanpa bekalan oksigen yang mencukupi, tubuh manusia mula merosot secara perlahan-lahan. Penyakit yang selalu terjadi di zon ini adalah hypoxia, acute mountain sickness (AMS), high-altitude pulmonary edema (HAPE), dan high-altitude cerebral edema (HACE).

Otak akan mula membengkak, paru-paru dipenuhi cecair dan kemampuan membuat pertimbangan rasional semakin kabur.

Artikel ini akan membawa anda menyelami kisah sebenar beberapa pendaki Everest yang meninggal dunia di gunung itu termasuk David Sharp, Rob Hall, Scott Fischer dan beberapa orang lagi.

Hillary Step - Laluan menuju puncak


David Sharp: Mati di Tengah Orang Ramai

Pendaki British berusia 34 tahun ini cuba menawan Everest dengan bajet minimum pada Mei 2006. Beliau memulakan pendakian tanpa sokongan dan juga bekalan oksigen yang terhad. Walaupun begitu, beliau berjaya sampai ke puncak. 

Ketika perjalanan turun, beliau mengalami kepenatan melampau dan memaksanya berlindung di sebuah gua kecil berhampiran dengan laluan utama pendakian. Selama- berjam-jam di situ lebih 40 orang pendaki melewatinya. Ada yang menyangkan Sharp adalah satu lagi jasad yang bersemadi di Everest dan ada yang sedar dia masih lagi hidup.

Sharp akhirnya mati akibat gabungan hipotermia, penyakit altitud tinggi dan kekurangan oksigen.

Kematiannya mencetuskan perdebatan global tentang etikan pendakian; adakah pendakian lebih penting daripada menyelamatkan nyawa?

 

Scott Fischer: Tidak Meninggalkan Pasukan

Seorang pendaki berpengalaman dan pengasas kepada Mountain Madness, Scott Fisher terkorban pada 1996. Walaupun Fischer telah menunjukkan tanda edema di otak dan paru-paru, beliau tetap memilih berada di belakang kumpulan bagi memastikan ahli pasukannya selamat dan tidak ketinggalan.

Scott Fisher

Ribut yang ganas melanda Everest ketika itu dan Fischer akhirnya rebah berhampiran Balcony. Cubaan menyelamat dilakukan Anatoli Boukreev namun ribut yang kekal mengganas menggagalkan cubaannya. Fischer meninggal dunia keseorangan di dalam ribut salji.

Tugu peringatan Fischer

Mayat Fischer masih lagi berada di Everest pada ketinggian 8,400 meter dari paras laut. Nama Scott Fischer dikenang bukan sekadar pendaki yang hebat tetapi sebagai seorang ketua ekspedisi yang kekal ke akhir hayat mendahulukan keselamatan ahli pasukan walaupun dia di dalam tenat.

 

Rob Hall: Setia Hingga Akhir

Rob Hall adalah pengasas kepada Adventure Consultants juga terkorban di dalam ekspedisi yang sama dengan Scott Fishcer. Hall dan ahli ekspedisi sedang terkandas di Hillary Step, laluan menuju puncak selatan yang sesak. Ang Dorje, sherpa kepada Hall, sudah berada di puncak menanti klien kepada Hall, Doug Hansen. Pada 3.00 petang, Ang Dorje mulai turun kerana Hansen tidak muncul. Ketika penurunan, dia terserempak dengan Hansen dan menyuruhnya turun kerana mereka sudah melewati waktu selamat ke puncak. Hansen mengangguk tapi terus mendaki.

Rob Hall

Hall dimaklumkan Ang Dorje dalam perjalanan turun. Hall terus mendaki untuk membantu Hansen kerana tahu Hansen mungkin sudah kehabisan oksigen tambahannya. Petang itu, base camp menerima panggilan radio daripada Hall mengesahkan Hansen telah menggunakan semua oksigen tambahan dan tidak dapat turun ke Hillary Step tanpa tambahan bekalan oksigen baru. Hall juga menyatakan Hansen berada di dalam keadaan yang sangat tenat dan lemah.

Guy Cotter, salah seorang jurupandu arah Adventure Consultants juga menasihatkan Hall supaya turun dan selamatkan dirinya. Pada pukul 4.45 pagi 11 Mei 1996, menghubungi radio di base camp menyatakan Hansen telah tiada. Dia juga tak dapat menggunakan bekalan oksigennya kerana regulator telah membeku. Pada 9 pagi, Hall telah memakai topeng oksigennya namun kesan frostbite yang teruk pada kaki dan tangannya menjadikan dia tidak dapat turun melalui tali panduan di laluan tersebut. Tengah hari tersebut, Hall menghubungi base camp dan meminta mereka menghubungi isterinya, Jan Arnold melalu telefon satelit.

Dalam panggilan terakhir itu, Hall menyatakan kepada Jan yang dia dalam keadaan yang selesa.

“Tidurlah dengan baik, sayangku. Jangan terlalu risau.”

Hall meninggal dunia tidak lama selepas panggilan tersebut. 

Jasadnya ditemui tidak jauh daripada puncak selatan oleh pendaki daripada Ekspedisi IMAX. Atas keberaniannya, Hall dianugerahkan pingat keberanian New Zealand secara posthumous di atas keberaniannya.

 

Hannelore Schmatz: Duduk dan Membeku Hingga Akhir Hayat

Pada tahun 1979, Hannelore Schmatz mencipta sejarah sebagai wanita pertama dari Jerman yang menawan Everest. Ketika dalam perjalanan turun, Schmatz menjadi terlalu letih dan berehat sambil bersandar kepada beg galasnya sambil meminta air daripada sherpanya. Sherpa tersebut menyuruh Schmatz teruskan perjalanan kerana hari semakin gelap namun dia tetap berhenti di situ.

Hannelore Schmatz

Akhirnya Schmatz meninggal dunia dalam keadaan bersandar dan mata terbuka sambil rambutnya ditiup angin dan membeku. Tali mendaki Schmatz sahaja yang mengekalkan kedudukannya di situ sehinggalah pada 1982, ada pendaki lain memotong tali terlebut dan jasad Schmatz jatuh ke bahagian lain.

Pada 1984, seorang sherpa dan inspektor polis terkorban dalam sebuah ekspedisi untuk membawa turun jasad Schmatz. Deruan angin akhirnya menolak jasad Schmatz jatuh ke bawah Kangshung Face.


Sleeping Beauty: Cinta Abadi Di Everest

Fancys Arsentiev menjadi wanita pertama menawan puncak Everest tanpa oksigen tambahan pada 1998. Cubaan naik ke puncak bersama suaminya Sergei Arsentiev berjaya pada 22 Mei 1998 setelah terpaksa berpatah balik sebanyak dua kali akibat masalah teknikal sebelum itu.

Oleh kerana pendakian ke puncak yang perlahan dan lewat, mereka terpaksa bermalam di ketinggian 8,000 meter dari paras laut sebelum turun ke kem. Petang itu, mereka terpisah. Sergei berjaya sampai ke kem keesokan paginya dan mengetahui isterinya tidak tiba. Sedar akan keadaan di atas yang bahaya, Sergei mendaki semula sambil membawa tangki oksigen dan ubat.

Pada 23 Mei, pasukan pendaki daripada Uzbekistan berapa beberapa ratus meter menghampiri puncak menemui Francys dalam keadaan separa sedar dengan tubuhnya mengalami hypoxia dan frostbite. Dia tidak dapat bergerak sendiri. Mereka membantunya dengan memberikan oksigen dan cuba menurunkan dia sejauh yang mereka mampu sehingga mereka sendiri mengalami keletihan dan kehabisan oksigen sebelum terpaksa meninggalkan Francys dan berundur ke kem. Petang itu pasukan ini berselisih dengan Sergei yang sedang mendaki ke arah isterinya. Itulah kali terakhir Sergei dilihat.

Keesokkan paginya, Ian Woodwall, Cathy O’Dowd dan beberapa pendaki Uzbek menemui Francys terbaring dengan mengiring di mana mereka terpaksa meninggalkannya petang sebelum itu. Kapak ais Sergei dikenal pasti ada di lokasi namun dia tidak dapat dikesan. Woodall dan O’Dowd membatalkan pendakian mereka dan cuba membantu Francys lebih dari sejam. Akhirnya mereka juga terpaksa mengalah dengan keadaan cuaca yang sangat tidak menyebelahi mereka ketika itu. Jasad Francys diberikan gelaran Sleeping Beauty kerana posisi dia menghembuskan nafas terakhir.

Jasad Fancys Arsentiev sebelum dialihkan

Jake Norton, seorang peserta ekspedisi Mallory and Irvine pada tahun 1999 telah menemui jasad Sergei dipercayai terjatuh dalam usaha menyelamatkan isterinya.

Pada 2007, Woodall mengetuai satu lagi ekspedisi yang diberi nama The Tao of Everest dengan tujuan untuk mengebumikan Francys dan satu lagi jasad pendaki tidak dikenali yang digelar sebagai Green Boots. Jasad Green Boots ini pula dialihkan oleh pendaki China pada 2014.

 

Green Boots: Tanda Rabung Timur Laut Everest

Green Boots adalah jasad seorang pendaki yang tidak dapat dikenalpasti identitinya. Jasadnya menjadi mercu tanda senyap di laluan Rabung Timur Laut akan bahaya yang sentiasa menanti pendaki. Teori popular menganggap Green Boots adalah Tsewang Paljor, seorang pendaki India daripada ekspedisi Indo-Tibetan Border Police yang terkorban pada 1996. Namun begitu maklumat ini tidak dapat disahkan kerana pada 1996, berlaku beberapa kehilangan nyawa di Everest.

Kedudukan Green Boots sebelum dialihkan

Pada 2014, jasad Green Boots dialihkan ke lokasi yang jauh daripada laluan mendaki oleh pendaki daripada China Tibet Mountaineering Association.


Di sebalik setiap jasad yang tewas di Everest, pernah wujud seorang manusia biasa dengan impian dan harapan pulang ke pangkuan keluarga. Mereka bukanlah sekadar statistik atau lagenda pergunungan. Mereka menjadi bukti bahawa alam tidak boleh ditakluki; hanya dihormati.

Bagi mereka yang memandang puncak Everest sebagai trofi, ianya bukan milik sesiapa. Gunung ini akan sentiasa mengingatkan kita bahawa adakalanya harga yang dibayar melebihi wang yang ada.

"Everest tidak kejam, ia cuma tidak peduli siapa pun anda."

Catat Ulasan

0 Ulasan