Salam sejahtera. Rasanya boleh dikatakan ramai yang mempunyai akaun Facebook tidak kira tua atau muda. Jika dahulu lapangan sosial ini hanyalah dibanjiri orang muda, kini ianya turut dibanjiri dengan pelbagai lapisan umur dari muda hinggalah berusia. Masing-masing dengan agenda tersendiri. Ada yang mahu mencari rakan baru dan lama, meluaskan jaringan perniagaan serta lain-lain lagi yang anda sahaja tahu tujuannya.
Namun begitu selamatkah akaun Facebook kita?
Facebook kini menambah fungsi keselamatan baru iaitu Login Approval. Ini sama seperti mana Google yang menambah baik sistem keselamatan pengguna dengan 2 Step Verification. Secara mudahnya Facebook akan menambah satu lagi kata laluan yang akan direka secara rawak kepada anda sebagai kata laluan kedua kepada akaun Facebook anda. Ini amat berguna bagi mengelakkan akaun anda diakses pihak ketiga di tempat lain.
Sekiranya ada orang cuba mengakses akaun anda dari komputer atau perkakasan lain, Facebook akan menghantar kata laluan kedua ke nombor telefon yang didaftarkan bersama Facebook anda. Tanpa kata laluan kedua yang dibekalkan secara rawak oleh Facebook, perampas tidak boleh mengakses akaun Facebook anda.
Cara Mengaktifkan Login Approvals.
Akses laman Facebook melalui browser. Kemudian pergi ke Privacy Shortcuts dan klik See More Settings
Kemudian klik menu Security di sebelah kiri dan anda akan lihat Login Approvals di baris kedua. Tekan Edit dihujungnya.
Sekiranya anda telah mendaftarkan nombor telefon pada Facebook, ia akan terpapar di sini. Jika belum, Facebook akan memerlukan anda memasukkan nombor telefon untuk tujuan ini.
Setelah selesai, anda boleh cuba login akaun Facebook anda melalui tab incognito (browser Google Chrome) atau tab private di browser yang menyokongnya. Anda dikehendaki memasukkan kata laluan seperti biasa namun ada tambahan kata laluan kedua yang akan dihantar melalui SMS ke nombor telefon yang anda daftarkan di Facebook.
Jangan klik Save This Browser jika menggunakan komputer awam seperti perpustakaan atau pejabat. Ini setapak menjauhkan akaun Facebook anda diakses pihak ketiga. Keselamatan itu bermula dari anda.
Terima kasih kerana sudi membaca tutorial pendek ini. Mohon maaf andai ada kekurangan. Semoga dipermudahkan hari anda.