Ahad kelmarin pada 3 September 2017, saya sekeluarga singgah di Pizza Hut, Sungai Dua, Butterworth sebelum pulang ke rumah. Seingat saya hampir jam 5 petang ketika itu. Hari amat gelap menunjukkan bahawa hujan lebat akan melanda bila masa sahaja.
Saat melangkah masuk, kelihatan banyak juga meja dipenuh pelanggan. Saya memilih meja berhampiran laluan ke dapur. Saat duduk, kelihatan meja-meja ada yang tidak dikemas. Pinggan dan gelas masih tidak diangkat. Pelik juga kerana selalunya petugas akan cepat membersihkan meja setelah pelanggan keluar dari premis.
Setelah duduk, seorang petugas wanita datang meletakkan menu. "Minta maaf ya. Boleh lihat menu dahulu. Sekejap lagi saya ambil pesanan". Petugas itu kembali dengan pantas ke dapur. Seketika kemudian dia keluar membawa pesanan untuk meja lain. Kemudian ke cash register kerana ada pelanggan membuat pembayaran dan pesanan bawa pulang.
Isteri saya juga melihat tingkah laku petugas tersebut. Ke sana sini dengan pantas. Hairan kerana cuma nampak kelibat dia sahaja di bahagian depan ini. "Tak kan tinggal dia seorang sahaja?" tanya isteri kepada saya. Saya cuma anggukkan sahaja kepala.
Setelah beberapa minit dia kembali ke meja kami sekeluarga. Pesanan pun diambil. Isteri sempat menegur petugas tersebut. "Sorang saja hari ni?"
"Haah" pendek jawapannya. Jelas terpancar keletihan di wajahnya. Hari Ahad pula. Pasti pelanggan ramai dari pagi tadi.
Dia kembali meletakkan sudu, garfu dan menghantar minuman. Tidak lama kemudian dia datang membawa pesanan kami. Dalam keributan bersendirian menghadapi pelanggan, pesanan tidak lambat. Senyuman tetap dilemparkan kepada pelanggan. Tidak kurang juga pelanggan yang masuk disapa walau dia tengah bergegas. Pesanan sampai dengan betul dan tidak lewat.
Lebih kurang 5.40 petang kami pun beransur. Semasa membuat pembayaran, saya bertanyakan dia. "Dari pagi macam ni?" Dia mengangguk sambil senyum dengan wajah kepenatan. Ramai juga pelanggan dengan pesanan bawa pulang menunggu di situ.
Mungkin ini kisah biasa bagi anda. Tapi dari mata saya, ini adalah orang yang hebat. Tidak retak di bawah tekanan. Saya tak boleh bayangkan diri bertugas begitu walaupun untuk jangkamasa yang pendek. Saya kagum melihat kegigihan dia dalam menjalankan tugas walau seorang diri ketika itu. Saya terfikir untuk menulis penghargaan kepadanya di laman facebook rasmi Pizza Hut Malaysia.
Semoga dimurahkan rezeki petugas tersebut. Inilah semampu saya lakukan untuk menghargai petugas tersebut. Saya juga bekerja dengan pelanggan dan saya tahu bagaimana perasaan dihargai pelanggan.
Kegigihan anda memberikan motivasi kepada saya. Terima kasih kepada petugas tersebut.