Misi Ride Lenggong - Ipoh - Gopeng

0

Ride and Camp. Impian yang telah lama disusun dan fasa pertamanya telah menjadi realiti pada 29 Februari yang lalu dengan jarak keseluruhan lebih 700 km. Saya bersama rakan, iaitu saudara Mazli bertolak dengan jentera Honda Future dan RS150R pada tengah hari tersebut.

Mazli bersama RS150R di Sungai Lata Tebing Tinggi.

Bermula dari Masjid Kubang Ulu, Bukit Mertajam kami terus bertolak ke arah Mengkuang Semarak dan Bukit Lengkok. Perjalanan diteruskan ke Sungai Ular dan terus ke Selama. Ini adalah kali pertama saya melalui jalan dalam ini. Menikmati kehidupan luar bandar dan melewati pekan di dalam rembang hangat mentari.

Berhenti seketika di Selama untuk mencari arah. Kami meneruskan perjalanan hingga berjumpa air terjun Lata Tebing Tinggi. Kami berhenti seketika di situ untuk merakam foto. Air terjunnya dilihat sangat berkurangan akibat musim kemarau.

Selepas itu perjalanan sedikit mendaki. Bagi saya yang menunggang Honda Future berkapasiti kecil, pendakian sedikit perlahan. Mujurlah pendakian melintasi Banjaran Bintang itu tidak lama dan bertukar kepada menurun bersama membelok selekoh untuk beberapa kilometer.

Sungai Lata Tebing Tinggi.
2 jam tepat, kami berdua tiba di Pitstop A76 Lenggong. Pitstop ini adalah salah satu pitstop di dalam Malaysia Local Route yang menjadi tumpuan terutamanya penunggang motorsikal. Anda boleh menjamu selera dan mendapatkan cernderahati pitstop A76 Lenggong di situ. Cuma masa kami tiba, pemiliknya tiada namun barangan yang diambil boleh dibayar pada kedai makan sebelahnya. Setelah selesai, kami bertolak ke Pekan Lenggong bagi mengisi minyak.

Singgah berehat dan makan Pitstop A76 Lenggong.
Tahukah di sekitar Lenggong terdapat banyak gua untuk diterokai dan mereka juga telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai tapak warisan dunia.

Destinasi seterusnya kami adalah ke Riverine Nature Camp untuk berkhemah semalam. Sampai sahaja kami disambut oleh Encik Danial, iaitu pegawai pemasaran kepada Riverine Nature Camp. Tapak perkhemahan ini memang bersih. Anda juga boleh menyewa khemah daripada Riverine dengan notis awal. Khemah akan siap dipasang sebelum anda tiba.

Di Riverine Nature Camp.
Kelengkapan asas juga amat baik. Surau juga disediakan. Selain itu mereka juga ada bermacam pakej yang sesuai dengan bajet anda jika mahukan acara berkumpulan. Paling popular mereka menyediakan pakej makan di sungai dengan kadar yang sangat berpatutan. Makan nasi yang dimasak dalam buluh! Walau sungainya cetek, puas kami berendam petang tersebut. Memang sejuk!

Pemandangan dari tapak perkhemahan.
Malam itu saya menukar rancangan. Awalnya hendak ke Cameron Highlands. Tetapi memandangkan keadaan tayar dan brek belakang tidak berada pada tahap optimum maka saya batalkan destinasi tersebut. Saya membuat rancangan lencongan ke Ipoh. Tidur semalam sebelum ke destinasi perkhemahan seterusnya di Gopeng. Mazli mencadangkan supaya kami singgah di Istana Kellie di dalam perjalanan.

Sungai cetek akibat musim kemarau.
Pagi Ahad 1 March 2020, kami bertolak keluar dari Lenggong. Kelajuan santai meninggalkan lembah Lenggong menuju ke Kuala Kangsar. Pemandangan perjalanan serba hijau dengan disajikan latar belakang bukit yang indah. Di laluan ini anda akan melintasi juga Tasik Raban sebelum tiba di Kuala Kangsar.

Setibanya di Kuala Kangsar pada jam 11 pagi, kami berhenti untuk makan pagi. Masing-masing memilih untuk roti canai sahaja sebelum ke Ipoh. Setelah bersarapan yang lewat, kami terus menuju ke Lebuhraya Utara Selatan arah selatan. Tiba di hotel, kami berehat dan keluar pada petangnya untuk makan di sekitar Greentown. Kami batalkan hasrat untuk meronda berikutan langit yang gelap. Kami berhenti mengisi minyak dan terus sahaja pulang ke hotel.

Singgah di PTT Outdoor, Ipoh.

Penyelesaian segera kepada pendakap pemegang telefon yang patah.

Isnin 2 March 2020, perjalanan dimulakan menuju PTT Outdoor. Selepas itu kami ke Restoran Nasi ‘Ganja’ untuk sarapan berat. Selepas itu kami terus bergerak ke Istana Kellie. Cuaca memang panas namun tetap ada pengunjung juga selain kami berdua.

Restoran Nasi Ganja

Mazli sedang menikmati nasi kandar yang dikatakan popular di Ipoh ini.
Selesai memeriksa Istana Kellie, kami berehat seketika untuk minum di kedai yang terletak di medan letak kereta. Sempat kami berbual dengan seorang pesara tentera iaitu Encik Shukri yang telah bersara namun dalam tempoh praktikal bagi kursus perlancongan yang diambilnya. Dari Istana Kellie, kami terus bertolak ke Gopeng untuk ke The Hideout, tapak perkhemahan seterusnya.








Jalan menuju ke Gopeng.

Jalan menuju ke Ipoh.

Berswafoto bersama Encik Shukri.

Tersesat juga masuk ke dalam kampung lain dalam mencari lokasi The Hideout. Sistem navigasi GPS tidak berfungsi di sini. Jadi kami bertanya kepada penduduk kampung. Barulah tahu kami tersalah masuk kampung. Lokasi kampung yang dicari berada di depan lagi. Terus kami kembali ke jalan besar dan menuju ke The Hideout, Gopeng. Sesuai dengan nama The Hideout. Memang tersembunyi jauh ke dalam.







Makan malam mudah.




Bergambar sebelum bertolak pulang.
Keesokan paginya kami terus bertolak ke Pulau Pinang semula.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan kejayaan dan keselamatan kami sepanjang perjalanan ini. Hanya tuhan sahaja yang mampu memberikan ganjaran ke atas kalian.

Inspirasi ini saya perolehi daripada:

  1. Ride Mainan Jatuh Ke Riba (CTFKL x MyKSR)
  2. Family Camping Malaysia (Facebook)
  3. Solo Ride (Facebook)
  4. Adventure Touring Malaysia (Facebook)
  5. Fikrie dan Naim (khemah)

… dan rakan-rakan yang banyak membantu.

Ini adalah projek sulung jelajah kami. Terdapat beberapa kekurangan dan perubahan pada sepanjang jelajah dengan mengambilkira keadaan motorsikal dan epidemik Covid-19 yang melanda. Dari jelajah ini juga kami belajar pelbagai perkara untuk diaplikasikan pada misi seterusnya.
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !