Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Media sosial dihujani dengan imej dari pelbagai lokasi menunjukkan kesan kepada PKP bagi mengekang penularan COVID-19.
Namun begitu terdapat ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak mengendahkan perintah ini. Ada yang berpusu-pusu balik kampung. Tidak lupa juga pasar tani yang beroperasi walaupun dilarang mengikut PKP. Yang berhimpun dan melepak juga tidak kurang ramainya.
Saya dan pasukan kerja berhenti di simpang empat Juru. |
Malaysia sudah pun mempunyai dua kematian berkaitan COVID-19 ini. Mereka yang meninggal ini diproses oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut prosedur kematian akibat Ebola. Bagi orang Islam yang meninggal dunia kaibat COVID-19, jenazah akan dimasukkan ke dalam beg mayat dan tayamum ke atas beg tersebut dan terus dikebumikan. Tiada lagi menatap wajah terakhir jenazah. Begitu seriusnya apa yang kita hadapi ini namun masih ramai yang tidak mengendahkan apa yang terjadi.
Apa yang rakyat Malaysia lakukan ini tidak ubah seperti Itali di mana jangkita merebak mendadak dalam satu jangkamasa yang singkat. Larangan pergerakan tidak diendahkan mereka menjadikan penularan tidak terkawal. Pesakit yang terlalu ramai menjadikan hospital penuh dan kakitangan terpaksa bertugas hingga kelesuan. Mereka juga insan biasa seperti kita akan tiba ke tahap keletihan.
Saya mohon kepada semua rakyat Malaysia, patuhi Perintah Larangan Pergerakan ini. Perdana Menteri sudah menyatakannya dengan jelas dan merayu agar rakyat mematuhinya. Akurlah kepada perintah ini sebelum langkah yang lebih drastik di ambil kerajaan bagi membendung penularan COVID-19. Tanggungjawab ini terletak di bahu semua rakyat Malaysia. Bukan semata-mata di tangan jabatan berkaitan.
Terima kasih kepada warga barisan hadapan yang berusaha sepenuh jiwa dalam mengurus dan membendung penularan ini. Ini termasuk juga mereka di sektor yang terus beroperasi semasa perintah ini diaktifkan. Saya mendoakan supaya kalian dan Malaysia selamat.
Kredit foto kepada laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.