Kecil Di Sisi Kekecewaan

0
www.freepik.com

Suatu masa ketika remaja dahulu, saya rasakan hidup ini cuma lurus. Fikir saya ianya tidaklah sukar sangat. Impi dan capai. Semudah itu sahaja.

Ya. Semudah itu ia bertukar 360 darjah.

Gelap.

Dari zaman sekolah, saya bukanlah seorang yang bijak benar walaupun duduk di dalam kelas aliran sains. Teringat lagi buku teks Matematik Tambahan yang kecil dan tebal itu. Benci sangat sebab langsung tak dapat faham. Itu belum cerita bab fizik dan kimia. Namun begitu, saya dapat melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pengajian tinggi dengan mengambil kursus kejuruteraan komputer dengan keputusan yang kalian juga tak akan percaya boleh dapatkan tempat untuk kursus tersebut.

SPM? Ke Laut China Selatan keputusannya.

Hendak seribu daya. Malas seribu dalih. Rasanya tak pasti ketika itu malas atau apa. Fikir saya apa yang susah belajar tentang komputer. Benda yang saya sangat minat. Ya. Memang susah bagi saya ketika itu (dan ketika ini) . Berjumpa semula subjek matematik tambahan. Nama pun kejuruteraan. Mestilah penuh kira-kra. Tapi keputusan SPM ketika itu kalau dibandingkan untuk kursus ini, rasa macam langsung tak kena.

Bertitik tolak dari itu, saya mula gagal dalam semua subjek pengiraan. Yang lulus semua subjek bertemakan komputer. Mengulang dan gagal. Sehinggalah tiba semester ke-empat, saya ditamatkan pengajian secara mandatori oleh institusi pengajian. Apa lagi alasan yang boleh diberikan selain malas. Tapi, siapa nak mengaku? Kan?

Waktu itu terasa dunia sekeliling saya runtuh. Impian hancur berkecai. Rasa berat sangat dalam jiwa kerana menghancurkan bersama harapan kedua orang tua. Ini tak dapat saya luahkan dengan kata-kata. Melihatkan rakan-rakan lain semakin berjaya, saya mula berasa amat halus ketika itu. Sehingga satu tahap, saya mula mengasingkan diri daripada banyak sahabat. Shutting off myself dalam terma acah-acah moden. Rasa malu yang teramat ketika itu (kadangkala sehingga kini).

Jiwa muda. Bekerja di sana sini. Tak tetap. Ada yang saya kerja cuma 2 hari iaitu juruwang stesyen minyak. Hari pertama kerja sudah kekurangan RM 50 dalam akaun tunai stesyen. Lusa saya terus berhenti begitu sahaja. Risau tentang kekurangan duit kutipan stesyen. Kemudian bekerja kilang. Kali ini lama sikit. Cuma rasa bosan. Rasa macam robot. Mungkin jiwa muda, pemberatan tanggungjawab itu tidak hadir sepenuhnya lagi. Semakin lama rasa semakin tenggalam dalam perasaan kecewa itu.

Sehinggalah seorang insan yang saya amat sayang menunjukkan satu peluang kerja. Dua hari sebelum temuduga, ayah membawa saya ke pejabat tersebut untuk menunjukkan jalan kepada saya. Walau saya sudah tersungkur bersama impian, kasih mereka itu masih saya rasai walau pun diri terasa sangat tenggelam dalam kekecewaan. Alhamdulillah, saya diterima bekerja di syarikat tersebut.

Orang kata lelaki ini lambat matang. Saya akui. Fikiran ketika itu masih lagi terumbang ambing. Tidak benar tahu apa yang saya mahu dan perlu fokus. Jadinya cuma pergi dan balik kerja. Cukup bulan dapat gaji. Tapi jiwa kosong. Gelombang kekecewaan itu masih ada kerana hati ini masih bersauhkan cita-cita semasa belajar dahulu. Kesilapan demi kesilapan hidup saya lakukan. Ada yang mengguris perasaan dan juga mengecewakan insan lain.


Tahun demi tahun berlalu, saya terus dengan syarikat tersebut. Pernah juga menghadiri beberapa temuduga jawatan dalam kerajaan, namun hampa semuanya. Saya teruskan sahaja kehidupan hari demi hari. Banyak yang saya belajar daripada apa yang saya lalui dan temui. Masa yang saya ambil untuk sedar dari kekecewaan itu terlalu lama. Impian yang menjadi sauh kekecewaan itu saya putuskan.

Sejak itu saya mula melihat dunia dari sudut yang berbeza. Jiwa mencari rezeki itu hadir perlahan ke dalam jiwa. Dunia semakin menarik. Naik turun adalah resam. Dugaan dan cabaran adalah perisa sebuah perjalanan hidup. Saya mula meninggalkan kekecewaan dahulu. Sememangnya banyak kesilapan yang saya buat ketika terlalu memikirkan kekecewaan tersebut. Namun setiap kesilapan tersebut saya susuri semula hikmahnya.

Saya cuma perlu bersaing dengan diri. Mencabar diri untuk ke tahap seterusnya. Dunia itu luas begitu juga impian. Pemikiran juga semakin berubah dengan berada di dalam kumpulan manusia yang membina. Di usia ini, saya semakin jelas akan sasaran hidup. Jalannya tidak akan lurus dan mudah. Namun kemanisan dan hikmah berada di setiap persimpangan hidup.

Keluarlah secara perlahan dari kekecewaan. Jangan anda biarkan kekecewaan itu menjadi lautan dalam hati dan lemas di dalamnya. Terlalu lama saya di dalam kekecewaan. Pernah menangis di tengah malam kerana rasa terlalu hampa. Sehinggalah suatu masa, tuhan titipkan kesedaran.

Dunia itu terlalu luas. Mengembaralah di dalamnya. Kecilnya kita di sisi Pencipta, bukan kekecewaan.

Semenjak itu, saya tidak lagi memandang ke belakang. Kenangan yang ada dijadikan sempadan agar sejarah tidak berulang. Adakah saya kaya? Tidak. Adakah saya hebat? Tidak. Yang pastinya saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik dari semalam. Kejayaan itu bukanlah diukur dengan apa yang boleh dibeli.


Semoga mendoakan kalian yang membaca agar diberi fokus, rezeki dan berada di dalam lindungan rahmatNya.

Nikmatilah hidup. Bersama kita bangkit dari kekecewaan.
Tags

Catat Ulasan

0Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !