Filosofi Kopi (2015) Rasa Nak Mengopi!

1

Kopi. Saya memang peminat kopi. Sehari tanpa kopi membuatkan hari saya tidak lengkap rasanya. Kebetulan terjumpa filem Indonesia berkisarkan kopi di Netflix. Menarik. Lantas terus saya tonton. Maka ini adalah ulasan ringkas tentang filem ini.


Filosofi Kopi adalah tajuk filem yang akan saya ulas ringkas kali ini. Mengisahkan dua orang sahabat iaitu Jody dan Ben bersama di bawah satu café yang dinamakan Filosofi Kopi. Dua orang sahabat yang berlainan karekter itu adalah nadi kepada café Filosofi Kopi ini.

Jody (lakonan Rio Dewanto) adalah pemilik Filosofi Kopi dan Ben pula adalah barista utamanya. Strategi pemasaran dan pengurusan diuruskan oleh Jody manakala menu di dalam café diuruskan sepenuhnya oleh Ben (lakonan Chicco Jerikho). Awalnya Jody tidak berkompromi dengan Ben tentang kualiti biji kopi yang digunakan. Sehinggalah café mereka tidak dapat mengaut keuntungan yang sepatutnya kerana kos bahan yang tinggi. Sewa premis mula tertangguh. Jody mula memikirkan apa langkah yang patut dilakukan untuk menyelamatkan Filosofi Kopi.

Jody berbincang dengan Ben tentang ideanya untuk mengubah dasar asas Filosofi Kopi. Ben yang angkuh seperti biasa tidak setuju. Suatu malam, hadir seorang kaya bersama pembantunya ke café. Dia mencabar Ben 100 juta rupiah untuk mencipta satu bancuhan kopi terhebat di Indonesia untuk dinilai seseorang.

Jody dan Ben bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun ketika persetujuan hendak dicapai, Ben secara tiba-tiba bertaruh dengan orang kaya tersebut. Sekiranya mereka tewas, mereka akan membayar jumlah yang sama seperti yang ditawarkan kepada orang kaya tersebut. Jody jadi cemas namun Ben kekal optimistik mengatakan mereka akan menang.

Berbekalkan saki baki bajet yang ada, Jody menurutkan sahaja kehendak Ben untuk memilih biji kopi pilihannya sebagai eksperimen untuk menghasilkan kopi terhebat di Indonesia. Setelah berhempas pulas, Ben berjaya menghasilkan Perfecto. Kopi yang mengembalikan pelanggan ke Filosofi Kopi.



Selain pelanggan, Perfecto turut mengundang hadirnya seorang gadis bernama El (Lakonan Julie Estelle). Dia adalah seorang Q Grader (penilai kopi) yang berpengalaman. Setelah mencuba Perfecto, riaksi El tidak seperti yang diharapkan. Ben rasa terhina berikutan komen El terhadap kopinya biasa-biasa sahaja. Mana mungkin Ben dengan pengalaman bertahun-tahun membancuh kopi di luar negara bersama dengan mesin canggih akan tewas dengan kopi kampung yang tidak rumit prosesnya.

Bermula dari situ, Jody, Ben dan El mengembara ke sebuah daerah untuk mencari kopi yang diceritakan El. Di situ juga sedikit demi sedikit rahsia dan gelora jiwa mereka terzahir. Pengalaman pahit Ben pun terurai. Rahsia di sebalik penubuhan Filosofi Kopi juga akan diketahui penonton. Di situ juga Jody, Ben dan El mula mengenali diri masing-masing.

Sebuah filem yang amat menarik bagi saya. Permainan emosi yang baik dan tidak meleret menjadikan filem bergenre drama ini ditonton tanpa rasa bosan dan sesuai untuk tontonan sekeluarga. Runut bunyi filem ini juga dipilih dan disusun dengan baik.


Tags

Catat Ulasan

1Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

  1. Haha! Kategorinya drama. Hehe. Slow tapi saya layan juga yang ni. Mungkin sebab kopi tu haha!

    BalasPadam

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !