Siri Jalan Berbahaya episod kali ini akan membawa anda ke Bolivia. Sejauh 60 kilometer melewati sebahagian banjaran Andes, ia diberi nama Jalan Kematian oleh penduduk setempat.
Siri Jalan Berbahaya: 02
Jalan Yungas Utara ini adalah jalan yang menghubungkan ibu kota tertinggi dunia iaitu La Paz dengan Coraico di lembahnya. Mempunyai lebar jalan yang sempit, selekoh tajam, angin kuat, kabus dan air terjun di beberapa tempat menjadikan jalan ini bukanlah jalan yang anda ingin lalui. Jika musim hujan pula, laluan Yungas ini akan lebih mencabar dengan laluan berlumpur. Anda juga mungkin akan jatuh ke bawah sejauh 1 kilometer ke dasar lembah.
Panggilan jalan kematian yang diberikan penduduk setempat bermula pada tahun 1983 apabila sebuah bas yang membawa penumpang berlebihan tergelincir di lereng jalan. Akibat kemalangan dahsyat itu, 100 orang meninggal dunia. Namun ianya tidak berhenti di situ. Saban tahun ia terus meragut nyawa pengguna laluan ini.
Pemanduan menurun di laluan ini adalah di sebelah kiri jalan bagi memberikan pandangan jelas pemandu kepada tayar hadapan sama ada melebihi tebing jalan atau tidak. Kerajaan Bolivia telah mewujudkan laluan baru pada 2007 bagi mengelakkan angka kematian kemalangan di Jalan Yungas ini meningkat.
![]() |
Merah: Laluan Berbasikal, Hijau: Laluan Alternatif |
Laluan lama sejauh 60 kilometer ini merentasi pergunungan Cordillera yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Andes. Ia juga ditutup sepenuhnya kepada kenderaan awam kerana laluan alternatif yang lebih selamat telah dibuka namun ianya lebih dari jauh.
Laluan lama Yungas ini menjadi tarikan pelancong di La Paz. Ia menjadi sebuah trek berbasikal yang terkenal dan menarik banyak pelancong. Hasil daripada inisiatif ini juga telah mewujudkan banyak syarikat perlancongan yang memfokuskan kepada bidang ini. Namun begitu, sejak 1998, laluan ini telah meragut nyawa 20 orang pelancong berbasikal yang cuba untuk menamatkan laluan menurun bukit sejauh 60 kilometer ini. Namun begitu ia tidak melunturkan semangat pelancong untuk merasakan desakan andrenalin menuruni bukit.
Siri Jalan Berbahaya: 01 - Trollstigen, Norway
Foto:
- https://www.flickr.com/photos/atonglee/15625874616/
- https://www.flickr.com/photos/jimmyharris/3854870733
- https://www.flickr.com/photos/philliecasablanca/2033724974/