WhatsApp di dalam zaman digital ini tidak dapat dinafikan peranannya. Bermula sebagai sistem pesanan ringkas bagi meminimakan kos SMS, ia berevolusi dengan pelbagai fungsi tambahan dan seterusnya menempatkan dirinya di dalam kehidupan manusia. Namun begitu, terdapat beberapa jenis kumpulan bual di dalam WhatsApp.
Admin Sahaja
Kumpulan yang diwujudkan oleh seorang Person In Charge untuk menyampai maklumat dengan menetapkan hanya pengendali sahaja boleh menghantar mesej ke kumpulan. Selalunya dibuat oleh guru untuk menyampaikan info kepada waris atau penjaga.
Keluarga
- Kumpulan yang menghimpunkan ahli keluarga dan saudara mara yang lain.
- Kumpulan yang menghimpunkan saudara mara sebelah ayah.
- Kumpulan yang menghimpunkan saudara mara sebelah ibu.
- Kumpulan yang menghimpunkan sepupu atau cucu cicit.
Mesej yang selalu ada seperti mesej berantai, selamat pagi, teori konspirasi, promosi jualan.
Pendidikan
- Kumpulan mengikut kelas di sekolah/kursus/jabatan di mana anda belajar yang dihoskan oleh tenaga pengajar.
- Kumpulan yang menghimpunkan waris dan penjaga kepada pelajar. Selalunya ini di peringkat sekolah.
- Kumpulan kelas sekolah/kursus di mana tidak ada cikgu/pensyarah di dalamnya. Jadi anda yang pelajar sahaja tahu bagaimana situasi di dalamnya.
- Kumpulan bekas pelajar/reunion/alumni yang mengumpulkan bekas pelajar. Banyak merancang aktiviti reunion, sesi the tarik, jual kuih, jual kad sim dan macam-macam lagi. Ada juga kes terancang skandal dengan kekasih lama akibat kenangan cinta kera yang kembali berputik. – (Penafian: Bukan penulis)
Automotif
- Kumpulan atau kelab yang selalunya mengikut jenama atau model kenderaan.
- Kumpulan motorsikal – Selalunya berkisarkan modifikasi dan aspek motorsikal. Topik yang berlegar selalunya “Berapa top speed?”. Selepas itu bincang konvoi. Balik konvoi pakat bercerita ‘fly’ dan siapa ‘pecah tong’. Ada yang balas “Tak ajak…”. Yang ini eloklah admin buang dari kumpulan tersebut.
- Kumpulan kereta – Berbeza dengan kumpulan motorsikal, di sini lebih santai. Selalunya berkongsikan masalah dan penyelesaian untuk jentera, modifikasi, hiasan dan konvoi setahun sekali dua.
- Kumpulan touring – Kaki touring memang betul sembang touring di sini. Banyak berkongsi pengalaman, lokasi menarik dan rancangan konvoi.
Tempat Kerja
- Kumpulan Rasmi – Kumpulan yang menghimpunkan warga pengurusan dari pelbagai peringkat. Arahan daripada kumpulan ini dianggap rasmi selaras dengan terma ‘arahan dari masa ke semasa’. Respon paling kerap adalah “Noted’. Arahan tidak bertulis adalah “Jangan sesekali left group.”
- Kumpulan Kerja Jabatan/Unit – Diwujudkan oleh ketua jabatan/unit dengan ahlinya adalah warga kerja dibawah ketua. Arahan dari kumpulan rasmi akan dimajukan ke kumpulan ini untuk makluman warga kerja. Selalunya ketua sahaja hantar mesej dan dibalas emoji thumbs up oleh ahli-ahli.
- Kumpulan Kerja: Santai – Kumpulan yang menghimpunkan warga kerja jabatan/unit atau organisasi itu sendiri tanpa ada pihak pentadbiran. Selalunya usul tidak puas hati terhadap arahan atau ketua akan ada di sini. Tetapi awas sekiranya ada di antara ahli yang berkongsi tangkap layar mesej anda ke individu yang dibincangkan.
- Kumpulan Kerja: Hobi – Diwujudkan bagi menghimpunkan semua warga kerja pelbagai lapisan yang mempunyai minat yang sama. Selalunya bab memancing. Kadangkala ada kumpulan konvoi.
Pemikir Profesional
Kumpulan yang mana ahli-ahlinya tidak berfikir secara aras biasa seperti manusia lain. Segala mesej lawak yang dikongsikan akan dihurai dengan penuh terperinci dan profesional. Kumpulan yang sukar ditemui saat lawaknya kerana semuanya serius walaupun mesej yang sama membuatkan kumpulan lain ketawa terbahak-bahak.
Mesti akan terfikir kenapa anda berada di dalamnya.
Komuniti Tempat Tinggal
Selalunya komuniti tempat tinggal akan mewujudkan kumpulan bertujuan memudahkan penyampaian info dan perbincangan kepada warga setempat. Selalunya dipecahkan kepada:
- Kumpulan Kampung/Taman/Lorong
- Kumpulan AJK Masjid/Surau
- Kumpulan anak kariah
- Kumpulan wanita kariah
- Kumpulan belia tempat tinggal
Hobi
Seperti kategorinya, kumpulan berdasarkan hobi ini memang agak luas. Dari memancing, panjat gunung, mainan, berkhemah dan lain-lain lagi, memang padat dengan perbincangan berkaitan. Sesi jualan dan pra-tempah berkaitan hobi masing-masing juga boleh dikatakan wajib ada.
Istimewa
Kumpulan yang menghimpunkan sekumpulan insan yang ‘sekepala’ dengan anda. Perbualan boleh menjadi kelakar, serius dan ilmiah. Paling merapu tetapi paling berinformasi dalam masa yang sama.
Ini hanyalah pandangan penulis sahaja.