Pengumuman tol percuma untuk perayaan kali ini dapat memberi nafas lega kepada pengguna lebuhraya Malaysia. Tidak kira yang pulang beraya atau pun yang bercuti, bajet tol dapat diselamatkan. Namun begitu tahukah anda pada 2010, terjadi sebuah kesesakan lebuhraya yang amat dahsyat?
Pada 14 Ogos 2010, kesesakan lebuhraya yang dahsyat ini terjadi di China. Ia berterusan selama 12 hari sejauh lebih 100 kilometer. Kesesakan ini terjadi di Lebuhraya Kebangsaan China 110 yang menghubungkan Hebei ddengan Wilayah Autonomi Mongolia.
Pemandu yang terperangkap ketika itu hanya mampu bergerak sejauh 1 kilometer sehari sahaja. Terperangkap dalam kesesakan, penduduk setempat menjual makanan, minuman dan rokok dengan harga berkali ganda lebih dari biasa. Dilaporkan juga ada penjual menggunakan basikal menyelusuri kesesakan untuk berniaga.
Kesesakan ini berpunca daripada lambakan lori-lori besar yang digerakkan untuk kerja pelebaran lebuhraya tersebut yang menghala ke Beijing. Penutupan lorong untuk pembinaan mengakibatkan kapasiti trafik menurun sehingga 50%. Bilangan kenderaan juga dilaporkan melebihi kapasiti sebanyak 60%. Dalam masa yang sama juga lori-lori membawa arang batu dengan dokumen yang tidak lengkap juga membanjiri laluan yang sama berikutan bagi mengelakkan pemeriksaan kualiti kargo.
Pihak berkuasa berusaha mengurangkan kesesakan dengan membenarkan lebih banyak lori-lori pembinaan memasuki Beijing pada waktu malam yang sangat sibuk pada siang. Syarikat logistik juga disarankan menggunakan laluan alternatif dan menghentikan sementara operasi.
Didoakan agar semua dipermudahkan perjalanan semua pengguna jalan di Malaysia. Pandulah dengan berhemah. Jangan buang sampah di tepi jalan. Pastikan kenderaan dalam keadaan yang baik sebelum bertolak ke destinasi.