Pada artikel yang lepas, perjalanan kita terhenti di sempadan Nuevo Laredo, Mexico. Kini kita akan memasuki kawasan Amerika Tengah di mana terletakknya wilayah-wilayah yang membentuk identiti Autopista America. Laluan ini bukan sekadar menjadi nadi kepada ekonomi Amerika Tengah, ia juga medan politik dan zon konflik.
Dibandingkan dengan Amerika Syarikat, Amerika Tengah mungkin lebih kecil dari saiz. Namun di sinilah Pan-America Highway menjadi dramatik dengan menyambung enam negara dan enam ibu kita dengan pelbagai risiko hanya dengan satu jalur asfalt yang panjang dan tidak pernah sunyi.
Bermulanya Laluan Rasmi Autopista America
Bahagian Mexico merupakan
segmen rasmi pertama Pan-American Highway. Lebih unik, ianya dibina sepenuhnya
tanpa dana Amerika Syarikat dan secara tak langsung menjadi simbol kebanggaan
infrastruktur nasional Mexico.
Laluan ini akan membawa anda terus ke Mexico City, salah satu bandar terbesar di dunia dan juga ia melewati wilayah perindustrian serta pertanian utama Mexico.
Laluan indah ini menyembunyikan sisi gelapnya. Peperangan merebut kawasan di antara kartel bukanlah perkara baru begitu juga pihak berkuasa yang cuba menghentikan keganasan kartel. Autopista Americana di Mexico ini juga menjadi laluan logistik oleh kartel dadah. Negeri Guanajuato pula sangat terkenal dengan kes jenayah terancang.
Pada Disember 2019, hanya dalam tempoh seminggu sahaja 12 anggota polis dibunuh manakala mayat 4 daripada mereka dibiarkan di atas Pan-American Highway. Kejadian ini dipercayai didalangi kartel CJNG berikutan penemuan kadbod dengan teks CJNG di tepi mayat sebagai amaran kepada polis. Ini sekaligus menjadi peringatan Pan-American Highway bukanlah sekadar laluan yang menyajikan mata dengan pemandangan indah.
Merentas Ibu Kota Enam Negara
Selepas Autopista
Americana yang asal, kita akan turun ke selatan. Perjalanan ini sangat unik
kerana belum ada laluan lain di dunia yang terus melalui ibu kota enam negara. Susunan
laluan pula adalah seperti berikut:
- Guatemala City, Guatemala
- San Salvador, El Salvador
- Tegucigalpa, Honduras
- Managua, Nicaragua
- San José, Costa Rica
- Panama City, Panama
Walaupun begitu, jalan-jalan ini tidaklah di dalam keadaan yang memuaskan. Ianya sempit, berlubang, sesak dan kebanyakan pemandunya agresif. Kesabaran dan refleks pemanduan anda akan teruji menghadapi pemandu Amerika Tengah.
Gunung Kematian Costa Rica
Selepas melewati San José,
anda akan mula mendaki Cerro de La Muerte yang mempunyai ketinggian 3,341 meter
dari paras laut dan ini adalah titik tertinggi di sepanjang laluan Pan-American
Highway. Cerro de la Muerte bermaksud Gunung Kematian. Ini merujuk kepada zaman
dahulukala di mana perjalanan merentas gunung ini mengambil masa berhari-hari sama
ada menaiki kuda atau pun berjalan kaki. Ia mendapat gelaran kematian adalah
kerana ramai pengembara zaman dahulu yang sakit atau pun mati kerana cuaca sejuk
dan juga hujan di gunung ini. Suhu malam boleh turun ke bawah takat beku dan
apabila matahari naik, ada kemungkinan anda terkena selaran matahari kerana
nipisnya udara di puncak.
Jalan merentasi Cerro de la Muerte ini adalah berturap namun juga berlubang. Ia juga mempunyai banyak selekoh tajam, kecerunan tinggi, jurang dalam dan berkabus. Risiko menanti pemandu yang tidak sabar mahu memotong kenderaan yang perlahan di hadapan. Di sepanjang laluan merbahaya ini, anda dapat melihat banyak salib di tepi jalan sebagai tanda peringatan mereka yang terkorban di laluan ini.
Sekiranya anda singgah di Cordillera de Talamanca, anda dapat melihat Lautan Pasifik di ufuk ketika cuaca cerah.
Banjir kilat, tanah runtuh, selekoh tajam, jurang dalam, cerun tinggi serta kabus tebal menjadikan pemanduan di Cerro de la Muerte ini memerlukan tumpuan dan kesabaran yang tinggi.
Pertemuan Keajaiban Kejuruteraan Panama
Setelah melintasi Costa Rica, anda akan tiba ke Terusan Panama sebelum ke Panama City. Terusan ini mula dibina oleh Perancis pada 1881 tetapi terhenti pada 1889 kerana kadar kekurangan pelabur dan kadar kematian tinggi ketika pembinaan. Amerika menyambung pembinaannya pada 1904 dan membuka Terusan Panama pada 1914. Terusan ini menjadi laluan utama perkapalan kerana ia menghubungkan Lautan Pasifik dan Atlantik tanpa perlu mengemudi laluan bahaya di penghujung benua Amerika Selatan di mana terletaknya Laluan Drake; laluan maut perkapalan. Ia juga menjimatkan waktu dan kos operasi.
Untuk meneruskan perjalanan ke Panama City, anda akan melalui Bridge of Americas yang merentasi Terusan Panama. Jambatan ini selesai dibina pada tahun 1962 oleh Amerika Syarikat dengan kos 20 juta dollar. Dua buah lagi jambatan dibina untuk menampung kadar trafik di Terusan Panama. Centennial Bridge selesai dibina pada 2004 dan juga Atlantic Bridge pada 2019.
Dua kejuruteraan pembinaan bertemu di Panama. Pembinaan Pan-American Highway bertemu dengan Terusan Panama yang menakjubkan.
Perjalanan laluan darat anda akan terhenti di Yaviza, sebuah pekan kecil di selatan Panama City. Pekan ini dipisahkan oleh sungai yang menjadi sempadan dengan Darién Gap. Anda hanya ada 2 pilihan sahaja untuk ke Columbia, sama ada melalui laut atau udara.
Darién Gap
Di antara Panama dan Columbia, terletaknya Darién Gap dengan jarak lebih kurang 100 km. Sebuah hutan tropika yang terpencil ini dan tidak mempedulikan kehadiran anda. Ianya adalah hutan tropika paling tebal dunia. Geografinya juga meliputi paya, gunung serta jaringan sungai yang deras. Ditambah pula dengan habitat pelbagai haiwan tropika, cukup menjadikan tanah sejauh 100 km ini sangat bahaya dan kos pembinaan akan menjadi terlalu tinggi dan tidak masuk akal.
Selain itu kawasan ini juga dihuni oleh komuniti orang asal seperti Emberá-Wounaan dan Kuna di mana pembangunan akan merosakkan budaya dan ekosistem mereka. Kehadiran manusia lain mampu memberikan penyebaran penyakit berjangkit kepada mereka dan mungkin memusnahkan industri ternakan orang asal.
Walaupun begitu, Darién Gap tetap menjadi laluan utama untuk imigran yang mahu ke Amerika Syarikat dan Kanada. Pada 2023, rakyat China yang melarikan diri dari negara mereka menggunakan Darién Gap untuk menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat dan Kanada. Ini sekaligus menjadikan Darién Gap adalah laluan terkenal untuk pemerdagangan manusia. Kerana itu, Darién Gap turut menjadi penempatan bagi kumpulan penjenayah bersenjata.
Artikel akan bersambung ke bahagian akhir di mana kita akan melalui Columbia, Ecuador, Peru, Chile dan Argentina.





0 Ulasan
Terima kasih atas komen anda