Pan-America Highway Bahagian 1

James Dalton Highway

Bayangkan sebuah jalan raya yang begitu panjang jaraknya sehingga anda memerlukan lebih daripada sebulan untuk menamatkannya. Anda bermula dengan jalan di dataran ais artik, merentasi hutan tropika tebak, mendaki gunung yang tinggi, dataran lapang hinggalah ke padang pasir. Sepanjang perjalanan ini, anda akan berhadapan dengan berhadapan cuaca ekstrem, laluan maut dan juga kawasan luas yang tidak berpenghuni.

Inilah Pan-American Highway atau di dalam Bahasa Sepanyol dipanggil sebagai Autopista Americana. Lebuhraya terpanjang di dunia. Laluan asfalt yang menjadi tulang benua utara dan selatan Amerika.

Apa Itu Pan-American Highway?

Pan-American Highway adalah sebuah jalan raya yang mempunyai jarak lebih daripada 48,000 km dia mana ia menghubungkan Deadhorse, Alaska di utara dengan dengan Ushuaia, Argentina di benua selatan.

Mungkin ramai yang menganggap Pan-America Highway ini adalah satu projek laluan tunggal. Hakikatnya ia bukanlah dibina sebagai satu projek khusus. Pan-American Highway ini terdiri daripada pelbagai lebuhraya nasional yang dibina secara berperingkat sepanjang abad ke-20 dan disambungkan hingga ia menjadi rangkaian mega merentas benua.

Untuk pengetahuan anda, hanya satu bahagian sahaja yang diiktiraf secara rasmi sebagai Pan-America Highway iaitu laluan daripada Nuevo Laredo di Mexico ke Buenos Aires di Agentina.

Secara keseluruhan, Pan-American Highawy ini melalui 14 negara:

  • Amerika Syarikat
  • Kanada
  • Mexico
  • Guatemala
  • El Salvador
  • Honduras
  • Nicaragua
  • Costa Rica
  • Panama
  • Columbia
  • Ecuador
  • Peru
  • Chile
  • Argentina

Berapa Lama Diperlukan Untuk Jelajah Pan-American Highway?

Secara teori, Google Maps menunjukkan perjalan dari Deadhorse ke Ushuaia boleh diselesaikan sekitar 12 hari. Itu tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti:

  • Keadaan trafik
  • Rehat dan tidur
  • Kesihatan pemandu
  • Cuaca
  • Keselamatan jalan
  • Laluan terputus
  • Keadaan kenderaan yang digunakan

Secara realitinya, rekod terpantas menggunakan kereta adalah 23 hari, 22 jam dan 43 minit manakala motorsikal pula mengambil masa selama 34 hari. Michael Stasser dari Austria pula mengambil masa 84 hari dengan berbasikal.

Bermula dari Deadhorse, Alaska.

Perjalanan epik ini bermula di Deadhorse, sebuah penempatan terpencil di utara Alaska yang terlibat dengan carigali minyak. Bermula di Dalton Highway ia dibina selari dengan saluran minyak Trans-Alaska pada 1974.

Trans-Alaska Pipeline

Dalton Highway memang terkenal sebagai antara jalan paling berbahaya di dunia. Ini kerana persekitaran ekstrem dan kurangnya perkhidmatan kecemasan.

  • Suhu boleh menjunam sehingga -52 darjah celcius
  • Runtuhan salji
  • Kabus dan ribut salji
  • Jalan berais dan sangat licin
  • Tiada sebarang perkhidmatan sejauh 384 km

Stesyen berita ABC dan BBC menggelarkan Dalton Highway sebagai lebuhraya ekstrem.

Jalan berkabus

Di sini, sebarang kesilapan kecil mendekatkan anda dengan maut. Bekalan minyak, makanan, peralatan musim sejuk dan perancangan rapi bukan lagi pilihan tetapi adalah keperluan di laluan ini.

Alaska Highway: Jalan Strategik Perang Dunia Kedua

Pembinaan Alaska Highway 1942

Selepas Dalton Highway, anda akan memasuki Alaska Highway dari Fairbanks. Lebuhraya ini dibina oleh 10,000 orang jurutera tentera Amerika daripada US Army Corps of Engineers. Ia tidak dibina atas tujuan perlancongan sebaliknya pertahanan. Amerika bimbang Jepun akan menyerang Alaska semasa Perang Dunia Kedua dan pembinaan Alaska Highway ini adalah untuk membolehkan pergerakan tentera dan logistik dengan pantas.

Pembinaan Alaska Highway 1942

Lebuhraya ini merentasi sebahagian besar Kanada sebelum ia berakhir di Dawson Creew, British Columbia di mana terletaknya titik sifar Alaska Highway.

Dua Laluan Ke Nuevo Laredo, Mexico.

Dari Kanada, anda mempunyai dua pilihan untuk ke Nuevo Laredo, Mexico.

1. Laluan Timur

  • Melalui Saskatchewan, North Dakota dan Minneapolis
  • Menyelusuri Interstate 35 terus ke Nuevo Laredo
  • Jarak: Lebih kurang 4,100 km

2. Laluan Barat

  • Melalui Calgary, Montana, Colorado, New Mexico dan Texas
  • Jarak: Lebih kurang 3,814 km

Kedua-dua laluan ini akan bertemu di Nuevo Laredo, Mexico di mana bermulanya titik rasmi Autopista Americana.

Idea Dari Mabuk Laut

Idea untuk mengubungkan benua Amerika melalui darat lahir secara tidak sengaja pada tahun 1866 di atas kapal bernama Lord Clarendon. Seorang diplomat Amerika, Hinton Rowan Helper yang mabuk laut ketika pelayaran ke Argentina membayangkan sebuah jaringan keretapi utara selatan dan merentas benua.

Idea ini bertujuan untuk mengukuhkan perdagangan, mengikat hubungan diplomatik serta meluaskan pengaruh Amerika Syarikat ke Amerika Latin. Cadangan landasan ini dibentangkan pada Persidangan Pan-America yang pertama pada 1889 namun gagal mendapat sambutan kerana kos pembinaan yang terlampau tinggi. Masa berlalu, idea untuk landasan berubah kepada lebuhraya yang mana jauh lebih murah dan praktikal.

Pelaburan Besar Amerika Syarikat

Ketika 1930an, Amerika Syarikat sedang mengalami The Great Depression (kemelesetan besar) dan sedang keluar dari kemelut kemelesatan ekonomi. Presiden ketika itu, Franklin D. Roosevelt bertindak dengan melaksanakan program America’s New Deal untuk membantu ekonomi dan kebajikan rakyatnya.

Program 3r (Relief, Recovery, Reform) ini membuka peluang pekerjaan dan menstabilkan kewangan Amerika untuk keluar dari kemelut kemelesetan ekonomi. Amerika turut melabur sebanyak 50,000 dolar untuk kajian awal. Pada 1934 hingga 1943, Amerika melabur lagi sebanyaj 87 juta dolar dan diikuti 24 juta dolar pada 1950 untuk membolehkan lebuhraya Pan-America ini menjadi realiti.

Ini membuktikan Amerika percaya pentingnya lebuhraya ini dari sudut strategik, ekonomi dan geopolitik.

 

Nantikan bahagian 2 di mana kita akan mula memasuki Amerika Tengah, kartel dadah Cerro de la Muerte, Terusan Panama dan Darien Gap.


Catat Ulasan

0 Ulasan