|
Pandangan dari atas Bukit Hash. |
Pada Ahad (15 April 2018) yang lepas saya sekeluarga dan beberapa rakan sekerja bersama-sama mendaki Bukit Hash buat pertama kalinya. Bukit Hash atau pun lebih dikenali sebagai Bukit H oleh penduduk setempat terletak di Sungai Petani dan juga meliputi kawasan Tikam Batu. Banyak pendaki memilih untuk mula mendaki dari Taman Semarak, Sungai Petani di mana treknya mencabar. Tetapi selain pintu masuk Taman Semarak, saya difahamkan ada banyak lagi laluan kecil untuk ke Bukit Hash yang mana penduduk setempat lebih mahir. Kami semua memilih untuk naik daripada Taman Seri Jenaris, Tikam Batu yang mana tempat kedua menjadi pilihan jika tidak mahu ke Sungai Petani.
Asalnya memang tak mahu mendaki. Kasut Adidas saya yang uzur sampai ajalnya ketika di Terminal Bersepadu Selatan ketika menunggu bas untuk pulang dari CTFKL. Apabila isteri memberitahu aktiviti mendaki ini, dia juga memberitahu bawa kasut mendaki saya ada. Cuma saya yang terlupa. Itulah keunikan memori seorang isteri.
Jam 8.00 pagi, kami semua tiba di Taman Seri Jenaris, Tikam Batu. Pendakian tidak mengejar waktu kerana saya mendaki sekeluarga bersama anak-anak yang berumur 4 dan 6 tahun. Mujurlah mereka tidak mengalah hingga sampai ke atas. Laluan dari Taman Seri Jenaris tidak begitu menyeksakan. Ada banyak kawasan mendatar dan agak redup dengan belukar di kiri kanan lorong pendakian. Sepanjang pendakian, kami tidak putus-putus disapa oleh pendaki-pendaki lain tidak kira bangsa dan umur. Rasa lebih santai dan semangat.
|
Pendakian bermula dari Taman Seri Jenaris. |
Pendakian memakan masa lebih kurang 45 minit. Mujurlah anak-anak kuat semangat. Saya yang tercungap pun jadi bersemangat melihat semangat mereka. Sebelum tiba ke puncak, kami tiba di Simpang Y. Simpang ini membawa anda ke puncak, Taman Semarak dan Taman Seri Jenaris. Jika dari Taman Semarak, ada juga laluan lebih mencabar dan curam untuk dicuba jadi anda tidak akan detour ke arah Simpang Y yang mana jaraknya sendikit jauh. Jika dari Taman Seri Jenaris, boleh dikatakan hampir setengah lagi pendakian untuk ke puncak.