Ragukan Rezeki Selepas Sedekah

1

Pada pagi sebuah Sabtu yang cerah beberapa minggu yang lalu saya ada urusan di Parit Buntar. Urusan COD barang yang harganya amat menarik sehinggakan saya memulakan ride dari Bukit Mertajam ke Parit Buntar. Sebelum bertolak, saya lihat pada tolok minyak Joanna (motor comel saya), minyaknya masih cukup dan saya bercadang untuk isi di Shell Plaza Tol Juru sewaktu pulang nanti.

Saya pun bergerak pantas. Dari Butterworth – Kulim Expressway saya masuk ke Lebuhraya Utara Selatan. Dalam dompet hanya ada RM 10 untuk duit minyak balik. Selebihnya untuk membuat pembelian barang di Parit Buntar. Cuaca cerah dan trafik agak lancar pada Sabtu tersebut. Sehinggalah saya lebih melewati susur keluar Bukit Tambun. Betul di sebelah EcoWorld Gallery, saya lihat ada seorang rider menolak motorsikal. Saya berhenti di hadapannya. Rupanya seorang pakcik yang agak berusia menolak sebuah motorsikal Honda EX5 yang uzur fizikalnya.

“Assalamualaikum, pakcik. Apa halnya menolak ni? Nak ke mana ni?”

“Waalaikumsalam, dik. Tak tahulah motor ni boleh tersengguk lepas tu enjin mati. Start pun tak hidup juga” balas pakcik tersebut.

Saya pula mengambil giliran untuk hidupkan motorsikal dia. Gagal. Bateri masih berfungsi baik. Saya angkat tempat duduk motorsikal tersebut dan membuka penutup petrol. Kemudia saya suluh dengan lampu flash daripada telefon. Kering.

“Minyak habis kering dah ni pakcik. Jauh ke menolaknya tadi?” soal saya kepada pakcik tadi.

“Adalah dalam 10 minit tolak. Terik pula hari ni.”

Terus saya ambil keputusan untuk menolak motorsikal pakcik tersebut menggunakan motorsikal saya. Mula dia agak risau kerana tak biasa tapi saya berulang kali tenangkan dia. Lebih kurang 15 minit saya menolak perlahan motorsikal dia di lorong kecemasan, datang pula seorang pemuda dengan menaiki Sym VF3i menolak dari sebelah kiri. Terus terasa ringan. Kami berdua menolak pakcik tersebut hingga ke stesyen minyak di Hentian Sebelah Sungai Bakap.

Sampai sahaja di stesyen minyak, saya terus membayar di kaunter untuk mengisi minyak motorsikal pakcik tadi. Penuh tangki terus bagi memudahkan perjalannya ke destinasi. Pemuda yang menaiki VF3i tadi pula masuk ke dalam kedai serbaneka.

Selepas mengisi minyak, saya bertanya sekali lagi kepada pakcik tersebut akan destinasinya. Katanya mahu ke Alor Pongsu, rumah anaknya. Nak tengok cucunya baru lahir. Dalam berbual itu, pakcik tersebut mengeluarkan RM 2 dari dompetnya dan hulurkan pada saya. Terus saya menolak. Sempat saya intai ke dalam dompet tersebut. Hanya RM 2 itu sahaja yang ada. Kemudian pemuda tadi datang dan memberikan air serta roti untuk pakcik tersebut. Kemudian diselitkan sekeping RM 10 di poket pakcik tadi. Terharu jelas kelihatan di wajahnya.

Pakcik tadi mendoakan kami murah rezeki ketika bersalaman dengannya. Pemuda tadi katanya mahu ke Ipoh. Selepas keluar dari Hentian Sebelah Sungai Bakap, kami berdua memecut ke destinasi masing-masing.

Dalam menghampiri lokasi untuk COD, saya mula terfikir yang duit tak mencukupi nak isi minyak untuk balik. Tadi saya isi minyak motorsikal pakcik tersebut. Selepas itu saya membeli minuman juga. Baki yang ada cukup untuk bayar harga barangan sebentar lagi. Gelabah juga memikirkannya sepanjang perjalanan ke lokasi COD.

Penjual pun datang membawakan barang yang dijanjikan. Saya pun mengukir senyuman walau dalam hati tengah gundah memikirkan tidak cukup wang untuk mengisi minyak. Berbual seketika dengannya, saya pun membuka dompet dan menghulurkan wang yang ada kepadanya. Dompet kosong. Setelah itu saya memohon diri untuk balik kerana cuaca semakin terik menghampiri tengah hari.

“Bang, ambil baki ni RM 10.”

“Eh? Kan saya bagi cukup-cukup tu. Tak lebih” balas saya.

Terus penjual tersebut menyelitkan RM 10 ke genggaman saya. Terkedu seketika.

“Abang datang jauh-jauh tengah terik ni. Naik motor lagi. Bolehlah buat duit minyak dan minum ke? RM 10 ni saya tak bankrap, bang” ujarnya lagi.

Terus saya ucapkan terima kasih sekali lagi. Kami pun berpisah di situ menghala ke destinasi masing-masing. Dalam hati berulang kali memanjatkan syukur kepada Allah kerana memberikan rezeki untuk balik.

Mula saya ragu tapi tuhan tunjukkan bahawa rezeki itu ada untuk setiap umatnya. Terima kasih Allah di atas rezeki dan petunjukmu akan rezeki.

Apa pun tengah rindu nak ride ke Kelantan lagi. Tapi untuk 2020 saya nak jelajah Perak. Tengah rindu nak ride.
Tags

Catat Ulasan

1Ulasan
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Terima kasih atas komen anda

  1. Subhanallah.
    Sesungguhnya Allah maha mengetahui.
    Terharu baca.

    BalasPadam

Terima kasih atas komen anda

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !