Daniel Perry, seorang remaja berusia 17 tahun dari Dunfermline, Scotland menghantar teks pesanan ringkas kepada neneknya memaklumkan dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Beberapa jam selepas itu, dia ditemui mati akibat terjun dari jambatan Forth Road.
Sebagai seorang remaja yang ceria, dia tidak pernah menunjukkan kegusaran terhadap keluarganya. Aktif di media sosial seperti Twitter dan Instagram, beliau sentiasa menggalakkan pengikutnya berhubung melalui Skype. Skype adalah salah satu penyedia panggilan video yang popular ketika itu. Melalui Skype juga dipercayai Daniel Perry menemui seorang rakan gadis atas talian yang dipercayai sebaya dengan usianya. Hari demi hari perhubungan itu menjadi semakin akrab dan intim.
Daniel Perry |
Penyiasat dari BBC juga menemui mesej dari pengugutnya berbunyi “Aku akan buat kau sengsara.” Daniel Perry tetap merayu mengharapkan belas kasihan pengugut. Namun dibalas dengan “Bunuh diri sekarang.” Tidak lama kemudian, pengugut menghantar satu lagi mesej.
“Kau sudah mati atau belum?”
Daniel Perry akhirnya memilih terjun dari jambatan Forth Road pada Julai 2013.
Mei 2014. 12400 kilometer dari Scotland, serbuan polis Filipina dengan kerjasama Interpol dan polis Scotland membawa kepada penangkapan 3 individu dipercayai terlibat dengan peras ugut siber yang membawa kepada kematian Daniel Perry pada tahun sebelumnya.
Jomar Palacio, 23 tahun, Archie Tolin, 20 tahun, dan Vincent Bravo, 22 tahun ditangkap polis Filipina. Ini adalah sebahagian daripada operasi Strikeback yang dilancarkan bagi memburu penjenayah siber yang sedang meningkat naik. Namun yang menjadi halangan adalah perundangan untuk mendakwa mereka sebaiknya.
Namun begitu, ketiga mereka mengaku tidak bersalah. Penahanan individu ini membawa kepada beberapa lagi serbuan di kawasan setinggan Filipina yang menjadi pusat kepada ugutan ini. Aktiviti jahat ini adalah jenayah terancang yang dirancang dengan teliti dan menggunakan tenaga kerja daripada masyarakat setinggan Filipina.
Apa yang boleh kita pelajari adalah sentiasa berhati-hati di mana jua kita berada termasuk di media sosial. Musuh yang datang pelbagai rupa. Datang dalam ramah, senyuman dan juga kebaikan yang dibuat-buat di atas talian. Ingatlah batas-batas pergaulan walau di dalam talian.
Foto: Freepik.com & BBC