Setelah lama berehat dari berkelana dengan motorsikal, hari ini saya membawa
si Joanna mendaki Gunung Jerai secara solo. Orang pertama yang membawa saya ke
Gunung Jerai adalah Abdullah Che Rus (Pak Lah). Terima kasih kepada Pak Lah.
Kali pertama Joanna menaiki Gunung Jerai |
Sekitar jam 6.30 pagi, saya bertolak dari rumah menerusi jalan dalam. Dari
Padang Menora terus ke Kepala Batas. Masuk sahaja ke jalan persekutuan, saya
teruskan perjalanan hingga ke Gurun. Saya suka memulakan kembara awal pagi.
Ini kerana sudah terbiasa dengan polisi sendiri iaitu,
"Early rider gets the view"
Pepatah ini saya olah dari versi Inggeris berbunyi ‘Early bird gets the worm’.
Pendek kata jika mencari rezeki, bangunlah awal. Rezeki ini luas. Dapat
pemandangan indah dalam perjalanan juga rezeki. Sebab itu saya sentiasa
bertolak awal dan solo.
Motorsikal pertama di pintu masuk resort |
Sebenarnya hari ini hanyalah kelana pendek bermotorsikal. Rancangan awal
adalah hendak ke The Jerai Hill Resort bagi menikmati pemandangan indah dan
menikmati secawan kopi. Sambil itu hendak masuk melawat ke Muzium Perhutanan
di situ. Malangnya muzium tersebut ditutup sementara tanpa tarikh akhir.
Mungkin kerana pandemik sekarang ini. Kawasan Sungai Teroi juga sama.
Di belakang adalah dewan milik resort |
Tiba di atas jam 8 pagi. Jadi saya memutuskan untuk melepak sahaja di resort
tersebut. Menikmati pemandangan seluar mata memandang. Ucapan Subhanallah
berulang kali diucap di dalam hati memuji kebesaran tuhan yang Maha Esa
pencipta alam.
Langit cerah membuatkan pemandangan yang jelas dan indah. |
Bunga yang banyak ditanam di sekitar resort. |
Nampak gayanya resort ini meriah dengan ramai pengunjung. Saya agak mereka
semua menginap di resort tersebut. Sesuatu yang melegakan industri
perlancongan tempatan apabila rakyat mula melancong di dalam negeri. Saya
sempat membantu agak ramai pelancong merakam foto mereka. Disamping itu
berbual dengan mereka yang boleh dikatakan ramai dari selatan.
Penanda aras ketinggian lokasi. |
Ramai juga bertanyakan apa yang ada di Kedah ini. Berbekalkan ilmu geografi
Kedah yang Pak Lah perturunkan, saya ibarat pemandu pelancong menjawab
persoalan mereka.
Seorang pengunjung mengayuh basikal. |
Selesai menikmati pemandangan dan hari semakin tinggi, saya pun mengambil
keputusan untuk turun dan makan di Kepala Batas. Sepanjang perjalanan turun,
saya melihat banyak motorsikal berkuasa tinggi pula naik ke puncak Gunung
Jerai. Ini pemandangan biasa disamping warga tempatan yang berbasikal dan
berjalan kaki naik ke puncak yang jaraknya adalah 12 kilometer dari kaki
gunung.
Penamat acara dengan makan tengah hari bersama Din dan Iwan di Kepala Batas. |
Tak pa. Atur lain nanti. Lagi pun kalau ke Gunung Jerai ni saya suka awal pagi. Sebab lewat sikit ramai orang. Dapat tengok view dah puas. Ingat nak camping tapi belum dibenarkan lagi di situ.
BalasPadam